Pengusaha spa manfaatkan pelbagai bantuan k'jaan
Penularan pandemik COVID-19 pernah membuatkan Zaliha Abu Bakar terduduk kecewa kerana perniagaan spa yang diusahakannya terpaksa ditutup selama tiga bulan pada tahun lepas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Wanita berusia 55 tahun itu semakin dirundung pilu kerana tidak mampu membayar gaji empat pekerjanya kerana pendapatan spa sebanyak RM16,000 sebulan sebelum ini, merudum 80 peratus selain terikat dengan pelbagai komitmen lain seperti bayaran sewa kedai, bil elektrik dan sebagainya.
Namun ibu tunggal kepada empat anak itu menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pelbagai program bantuan termasuk Program Subsidi Upah (PSU) dan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi meringankan beban golongan yang terjejas sepertinya.
“Sebaik sahaja pengumuman PSU pada tahun lepas, saya rasa sayalah orang pertama yang memohon bantuan tersebut. Jadi ia dapatlah membantu kelangsungan hidup para pekerja sepanjang spa ditutup. Tawaran PSU ini turut saya manfaatkan apabila spa sekali lagi tidak beroperasi selama sebulan pada Januari tahun ini kerana PKP kali kedua,” katanya ketika ditemui di Warisan Spa dekat Wakaf Beruas di Kuala Terengganu.
Warisan Spa cawangan Wakaf Beruas merupakan antara rangkaian jenama spa milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), yang sejak tiga tahun lepas dikendalikan syarikat Zaliha, Goheaz Beauty and Spa yang merupakan anggota Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu Berhad (KOSPA).
Zaliha yang berkecimpung dalam bidang spa dan kecantikan sejak tamat sekolah menengah itu turut menerima bantuan RM3,000 menerusi program GPK dan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5,000 daripada Skim Pembiayaan Kemudahan Pengukuhan Perniagaan Majlis Amanah Rakyat (SPAK) pada Julai 2020.
“Bantuan-bantuan yang diterima itu dapat menampung kos untuk saya memulakan kembali perniagaan seperti membeli barangan keperluan spa yang rosak setelah tiga bulan tidak digunakan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berasa beruntung kerana menerima 120 keping baucar bernilai RM30 setiap satu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk diberikan kepada pelanggan di semua spa serta pusat urut kaki di bawah seliaan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dan Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA), melalui Kempen Safe2Spa Jom Spa.
“Baucar tersebut saya terima pada Mac tahun lepas yang keseluruhannya bernilai RM3,600. Selain itu Angkasa turut memberikan saya 150 keping baucar bernilai RM20 setiap satu. Saya juga diberi kursus percuma mengenai pengendalian spa mengikut SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan COVID-19 daripada Angkasa. Bukan itu sahaja, Angkasa turut memberikan saya sebuah mesin sauna infra merah pada Februari lepas,” katanya.
Malah kini katanya, meskipun penularan pandemik COVID- 19 masih belum reda, perniagaan spanya mampu memperoleh pendapatan hingga RM22,000 sebulan, selain turut membuka dua buah cawangan Warisan Spa iaitu di sebuah resort di Kuala Berang pada Mac tahun ini dan di Chendering di sini pada pertengahan April lepas.
Wanita kental itu menyeru semua usahawan terutama golongan wanita supaya memanfaatkan bantuan yang diberikan kerajaan sebaiknya dan menepis anggapan kononnya proses mendapatkan bantuan yang ditawarkan adalah satu perkara yang rumit dan pelbagai kerenah birokrasi terpaksa dihadapi.
“Tidak susah pun proses mendapatkan bantuan ini. Kita hanya perlu rajin mencari program-program yang sesuai untuk kita. Memanglah perlu mengemukakan borang atau dokumen berkaitan namun ia hanya proses yang biasa. Tidak semuanya datang bergolek dan kita perlu berusaha lebih sedikit. Lagipun kerajaan sudah sediakan pelbagai bentuk bantuan, kalau bukan kita yang memanfaatkannya siapa lagi?,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai