Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Palestin mangsa percakaran politik dunia Islam

ULASAN | Masih berbaki tiga hari sebelum bulan mulia Ramadan melabuhkan tirainya untuk tahun ini. 

Pada saat umat Islam seluruh dunia sekali lagi mempersiapkan diri menyambut lebaran dalam norma baru, bumi Palestin kembali bergolak dengan pertempuran antara pihak bersenjata Israel dan penduduk awam.

Setiap kali berlaku krisis di Palestin, berbondong-bondong ‘penganalisis’ yang mengambil garis agama dalam menerangkan mengenai apa yang berlaku. Komentar sebegini adalah klise berikutan ketidakupayaan melihat sesuatu isu sosiopolitik dalam konteks yang berbeza.

Kebanyakan pihak hanya menumpukan isu keganasan dan pencabulan hak oleh Israel ke atas rakyat Palestin sebagai punca utama krisis. 

Bagaimanapun, perlu kita fahami bahawa perilaku keganasan ini terjadi lantaran ia berpunca daripada kepimpinan Palestin itu sendiri.

Umum mengetahui bahawa terdapat dua kelompok utama yang mentadbir Palestin. 

Pertamanya Al-Fatah, organisasi secular-leftist yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas, atau Abu Mazen, dan Hamas yang beraliran Islam.

Isunya bukanlah jurang ideologi antara kedua-dua organisasi politik ini. Sejak tahun 2007, perebutan kuasa dua kelompok dalam Palestinian Authority (PA) ini mengakibatkan Palestin terbahagi kepada dua wilayah pentadbiran antara Gaza dan Tebing Barat.

Kali terakhir penduduk Palestin mengundi adalah pada tahun 2006, yang mana ia dimenangi oleh Hamas. 

Pun begitu, pertelingkahan dua parti terbesar dalam Palestinian Legislative Council menyebabkan seluruh Palestin terheret dalam kancah 'perang saudara'.

Selepas hampir 15 tahun, penduduk Palestin akan kembali memilih siapa yang akan mentadbir dan mewakili mereka. 

Dalam keghairahan menuju pemilihan ini, sekali lagi rejim Israel melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin.

Motifnya ialah untuk meneruskan ketidakstabilan (destabilisation) di Palestin dan seterusnya bagi memastikan entiti politik ini terus terpecah tanpa satu kepimpinan stabil yang mampu menyatukan dua wilayah yang terpisah secara governans.

Selain itu, terdapat dakwaan ia satu ‘manufactured political crisis’ oleh Abu Mazen yang bimbang akan prospek kekalahan. 

Bukan satu rahsia bahawa Abu Mazen mempunyai hubungan kerja yang rapat, walaupun mencabar, dengan apparatus keselamatan Israel.

Percaturan geopolitik Timur Tengah

Pada 13hb Ogos 2020, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara Timur Tengah yang ketiga menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. 

Mesir merupakan negara pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun 1979, diikuti oleh Jordan pada tahun 1994.

Keputusan normalisasi hubungan UAE-Israel telah mencetuskan ‘snowball effect’ di rantau Arab, bila mana Bahrain, Sudan dan Maghribi turut menurut jejak langkah Abu Dhabi.

Negara-negara ini merupakan sekutu rapat Arab Saudi di Timur Tengah. Normalisasi ini besar kemungkinan demi menjaga kepentingan geopolitik Saudi di rantau tersebut.

Perjanjian hubungan diplomatik UAE Israel.

Percaturan geopolitik ini bertitik tolak daripada fenomena Arab Spring sedikit masa dahulu. Kebanyakan negara Arab menyedari, ancaman dalaman (internal threat) lebih berbahaya berbanding ancaman dari luar (external threat).

Setidaknya, selagi hubungan diplomatik ini tidak terputus, negara-negara Arab ini tidak perlu berasa bimbang akan ancaman daripada Israel.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, negara merupakan entiti berdaulat dan bersikap rasional. Pertimbangan berbentuk emosi seperti agama dan bangsa tidak seharusnya mengatasi kepentingan utama negara (national interest)

Perlu juga difahami bahawa kesemua negara-negara ini (termasuklah Arab Saudi dan Israel) lebih menganggap Iran dan Turki sebagai ancaman utama.

Berikutan itu, saya berpendapat serangan terbaru Israel terhadap penduduk Palestin adalah berniat ‘testing the water’ bagi melihat reaksi negara-negara Muslim, khususnya negara yang telah melakukan normalisasi diplomatik dengan Israel.

Sebaik berlakunya serangan Israel ke atas Masjidil Aqsa, Malaysia dilihat lebih pantas dalam mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk serangan, berbanding negara-negara Timur Tengah yang lain.

Tragedi serangan ke atas Masjid Al-Aqsa ini merupakan manifestasi percaturan geopolitik di Timur Tengah dan Palestin merupakan korbannya, kerana ia merupakan ‘trigger point’ negara-negara Muslim seluruh dunia.

Tindakan agresif Israel ini juga dapat dilihat sebagai perbuatan ‘egg on the face’ atas Amerika Syarikat. Umum mengetahui bahawa Benjamin Netanyahu lebih menyebelahi Donald Trump berbanding Joe Biden. 

Israel mendapat banyak manfaat ketika pentadbiran Trump seperti pengiktirafan Washington atas Jerusalem sebagai ibu kota dan penutupan pejabat Perwakilan PLO di Washington D.C.

Sejak mengambil alih White House, Presiden Biden memberi jaminan untuk mengkaji semula kelemahan perjanjian damai yang dilakukan pentadbiran Trump dan berjanji memulihkan bantuan kewangan kepada PA. Suatu langkah yang sudah semestinya tidak disenangi oleh Tel Aviv.

Iran ancaman utama berbanding Israel

Dalam konteks multilateral diplomacy, tidak banyak yang boleh diharapkan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Tidak dapat dinafikan hegemoni Arab Saudi atas negara-negara anggota OIC. 

Seperti yang telah dinyatakan, Arab Saudi dan negara sekutunya lebih melihat Iran sebagai ancaman utama berbanding Israel.

Sejak tahun 2014 jawatan Setiausaha Agung OIC dikendalikan oleh Arab Saudi. Ketika berlakunya pertelingkahan diplomatik antara Arab Saudi dan Iran pada tahun 2016, organisasi ini cenderung menyebelahi Saudi. 

Bahkan OIC turut mengeluarkan resolusi anti-Iran pada 21hb Januari 2016.

Kegagalan OIC dalam memberikan reaksi yang sewajarnya mengenai isu umat Islam sejagat sangat mendukacitakan. Ia tidak lebih sekadar pentas untuk memperpanjang agenda Arab Saudi berbanding agenda umat Islam secara kolektif.

Berikutan itu, isu Palestin yang tidak begitu penting dalam percaturan geopolitik Saudi dipandang sepi, cukup sekadar menyatakan bantahan diplomatik tanpa tindakan yang sewajarnya.

Perkembangan semasa memperlihatkan persaingan dua blok yang besar dalam OIC. Pertamanya blok yang diketuai oleh Arab Saudi yang disokong kebanyakan negara-negara anggota Gulf Cooperation Council (GCC) seperti UAE, Bahrain, Oman dan beberapa lagi.

Sementara itu, pada sisi yang lain, sebuah blok pencabar yang diketuai oleh Iran dan Turki. Kedua-dua blok ini dilihat berusaha dalam mendapatkan pengaruh di kalangan negara anggota OIC.

Turki dilihat lebih sesuai menjadi ‘counterweight’ kepada Arab Saudi dalam politik dunia Islam. 

Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dijangka merangka dasar luar Turki yang lebih aktif dan tegas menjelang tahun 2023, bersesuaian dengan tamatnya Perjanjian Lausanne 1923.

Turki (Uthmaniyah) yang pernah menjadi pelindung kepada dunia Islam sebelum runtuh pasca perang dunia I, dilihat sedang menghidu peluang untuk membina pengaruh dalam OIC.

Bagaimanapun, persoalannya, apakah dengan bertukarnya ‘kepimpinan’ dunia Islam daripada Arab Saudi kepada Turki mahupun Iran, agenda keamanan Palestin dapat dicapai?

Pada hemat saya, negara muslim di luar Timur Tengah seperti Malaysia dan Indonesia lebih mampu memainkan peranan membela kepentingan Palestin berbanding negara-negara di rantau tersebut.

Hal ini kerana, kita tidak mempunyai sebarang kepentingan geopolitik dalam isu ini melainkan agenda memartabatkan prinsip keadilan dan kemanusiaan selaras dengan saranan perjanjian antarabangsa.

Saya melihat di sinilah peluangnya Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai kedudukan yang dihormati dalam dunia Islam dan bersikap ‘neutral’ mampu memainkan peranan sebagai mediator dunia Islam.

Malaysia mempunyai sejarah panjang dan konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin.

Malaysia merupakan negara terawal membenarkan Palestine Liberation Organisation (PLO) beroperasi di Kuala Lumpur dan menukarkannya kepada status diplomatik (full diplomatic status) pada tahun 1981 dan status kedutaan pada tahun 1989.

Sudah semestinya penglibatan aktif dalam isu Palestin bukan sahaja akan mengangkat status Malaysia di mata dunia bahkan mengembalikan reputasi pendekatan dasar luar ‘calling a spade a spade’ Malaysia di pentas antarabangsa.


RIZAL HAMDAN merupakan pemerhati isu antarabangsa dan dasar luar serta Pengarah Eksekutif NADI Centre, sebuah badan pemikir.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.