Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ratu terjun negara beri kata-kata semangat pada Ain

Ratu sukan terjun negara, Pandelela Rinong menyatakan sokongan kepada usaha pelajar Ain Husniza Saiful untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang lebih selamat.

Pemenang pingat Olimpik sebanyak dua kali itu memberikan dorongan agar Ain terus bersuara.

Dalam ciapan di Twitter, Pandelela mengulang ciap kenyataan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan solidariti terhadap pelajar Tingkatan Lima itu.

"Sama seperti ketika saya cuba #makesportasaferplace (jadikan sukan tempat lebih selamat), saya digelar 'diva', dengan merujuk maksud berbeza.

"Ke hadapan Ain, saya sangat menyarankan kamu untuk berhati-hati kerana kamu mungkin disabotaj jika tidak berhati-hati. Namun, terus bersuara untuk masa depan kita!" kata atlet kebangsaan itu.

 

Pandalela baru-baru ini meraih pingat emas di Fina Diving World Cup kategori platform 10m wanita.

Saddiq dan Pandelela adalah antara yang menyahut gesaan Ain, menyatakan rasa kagum atas keberaniannya di tengah kritikan, termasuk dikatakan dari pentadbir sekolahnya.

Ain, yang baru-baru ini mendedahkan guru lelakinya membuat jenaka mengenai rogol di kelas, telah diberi surat amaran kerana tidak hadir ke sekolah setelah dia merasa tidak selamat.

Sejak klip video Tiktok dan kenyataannya di Twiiter menjadi tumpuan, Ain diundang menghadiri forum dan wawancara media.

Ain 'sekolahkan' Siti Kassim

Dalam perkembangan terbaru, Ain kini kembali menjadi tumpuan selepas mengulas kenyataan peguam Siti Kassim yang mempersoalkan penampilannya memakai selendang yang menutup rambutnya.

Siti Kassim menyuarakan kebimbangan pilihan Ain untuk menutup rambutnya, dengan menasihati keluarga Ain agar tidak digunakan oleh orang tertentu.

Ain, bagaimanapun, menegaskan penampilannya tidak mempunyai kaitan dengan isu yang diketengahkannya dan menjelaskan bahawa penampilannya adalah pilihannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Pelajar itu juga menggesa Siti berhenti menilai orang berdasarkan penampilan mereka.

Rata-rata pengguna media sosial di Twitter kemudia menyuarakan sokongan berhubung kenyataan Ain kepada Siti. Mereka antara lain menyorot kematangan Ain berhujah.