Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pensyarah berkerusi roda tekad perkasa pelajar OKU di IPT

Setelah menghabiskan beberapa dekad berjuang untuk mencapai cita-cita dalam bidang akademik, seorang profesor yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kini menggunakan pengalamannya untuk memastikan pelajar OKU di Malaysia mendapat hak sewajarnya untuk turut berjaya dalam pendidikan tinggi.

Profesor bidang ekonomi di Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM), Ruzita Mohd Amin, 57, berkongsi bahawa cabaran OKU sepertinya bermula sejak mendaftar masuk di sekolah rendah lagi.

Ruzita hilang keupayaan untuk berjalan secara normal semasa diserang penyakit polio pada umur satu tahun.

Kini dia menggunakan kerusi roda, tetapi semasa mendaftarkan di sekolah rendah satu ketika dulu, Ruzita bergantung kepada ibunya untuk didukung bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Atas sebab itu, beberapa sekolah telah menolak pendaftarannya atas alasan tiada kemudahan.

“Masa zaman itu (tahun 1970-an), sekolah tak ada nak terima sebab tak ada kemudahan untuk pelajar OKU.

“Cuma ibu bapa saya pusing-pusing cari sekolah yang sesuai, satu sekolah sahaja yang boleh terima. Itu pun dengan syarat ibu saya perlu tunggulah di sekolah, untuk bantu menguruskan saya,” kongsinya.

Ruzita yang berasal dari Kuala Lumpur, dibesarkan oleh ibunya sendirian bersama dua lagi adik-beradik setelah ayahnya meninggal dunia ketika dia darjah lima.

Katanya, sebelum mendapat kerusi roda pada darjah tiga atas bantuan sekolah, ibunya sentiasa mendukungnya dan berjalan kaki ke sekolah kerana tiada kenderaan.

Ruzita ditemani ibunya di sekolah sehinggalah dia berjaya mendapat tempat di UIAM  untuk empat tahun pengajian di kampus yang tiada kemudahan untuk warga OKU ketika itu.

“Masa itu (tahun 1980-an) di UIA kampus Petaling Jaya, memang bertangga-tangga. Dan tiada ramp langsung.

“Ketika itu, saya masih boleh berjalan lagi (menggunakan tongkat). Tetapi saya tak pernah naik tangga jika tiada tempat pemegang. Dan masa itu, semua tempat tiada tempat pemegang lagi.

“Jadi, saya perlu berjalan jauh untuk ke kolej kediaman dan dewan kuliah,” katanya.

Dengan kecemerlangan Ruzita dalam pelajaran dan kokurikulum, pelajar ambilan pertama UIAM ini ditawarkan menjadi tenaga pengajar sepenuh masa di universiti tersebut sebaik sahaja menamatkan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Ekonomi.

Pengalaman sebagai pelajar OKU di luar negara

Berkelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dari dua buah institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat, Ruzita menghabiskan masanya selama lima tahun mendalami ilmu dalam bidang ekonomi di negara orang.

Pengalaman di luar negara membuka matanya tentang kemudahan yang seharusnya disediakan untuk golongan OKU.

 

Satu aspek yang paling dihargainya ialah kewujudan unit OKU di setiap universiti untuk memenuhi keperluan khas golongan ini.

Berbeza dengan di UIAM, menurutnya, di universiti di Amerika Syarikat dia dibantu dari segi kemudahan tempat tinggal, kerusi roda bermotor serta pengangkutan bagi memudahkan rutin hariannya di sana.

Pihak universiti juga menyediakan van yang menghantarnya ke kelas secara percuma, kerana tempat tinggalnya jauh dari kampus.

“(Pihak universiti) kata ‘Awak tempah satu minggu punya jadual. Kemudian, awak boleh tuntut kos pengangkutan ini daripada pihak universiti’,” jelasnya.

Kesedaran pihak universiti akan keperluan OKU juga bermakna keperluan beliau dipenuhi tanpa perlu diminta, tambah Ruzita.

“Kadang-kadang di sana, cuaca bersalji...penuh di hadapan rumah dan tak boleh keluar rumah.

“Orang lain kena sodok salji sendiri, tapi disebabkan (pihak berwajib) tahu rumah saya ada penduduk OKU, pagi-pagi lagi sudah ada lori datang, sodok siap-siap. Dia bersihkan laluan saya,” kata Ruzita.

 

Tambahnya lagi, segala kemudahan yang diterima Ruzita di luar negara, membuatkannya berasa kagum dengan kemudahan untuk golongan OKU.

Ini kerana kemudahan ini merupakan salah satu sistem yang telah tersedia bagi menjaga kebajikan golongan ini.

“Itulah yang saya cuba bawa di UIAM lah, sebab berdasarkan pengalaman. Jadi, kita perlu bawa amalan yang baik ini ke Malaysia," katanya.

Dasar dan pendekatan tidak mesra OKU

Menurut Ruzita, ketika berstatus pelajar di Malaysia, masyarakat dan pihak berwajib belum terdedah dengan keperluan dan kemudahan OKU.

Malah, ketika dia melanjutkan pelajar ke Amerika Syarikat, kemudahan elaun bantuan keluarga yang disediakan Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) untuk sarjananya pada ketika itu, tidak dapat diperolehinya.

Ketika itu, dia memohon untuk elaun tersebut untuk ibunya yang mengikutinya ke Amerika Syarikat untuk membantunya dalam urusan harian.

Permohonan untuk elaun untuk ibunya tidak diterima kerana elaun tersebut  hanya boleh diberikan kepada suami, isteri atau anak kepada pelajar, dan tidak kepada ibu bapa.

 

Katanya, pendekatan yang tidak fleksibel dan tidak mengambil kira keperluan dan situasi pelajar OKU, masih wujud sehingga hari ini.

Sebagai Ketua Unit Perkhidmatan OKU di UIAM, dia berhadapan dengan pelbagai situasi di mana pihak pengurusan tidak mempunyai kelonggaran dalam sesuatu usul untuk membantu pelajar OKU.

“Apabila melalui situasi begini, memang kecewalah. Ada masa akan rasa lemah semangat, tetapi perlu teruskan juga. Kemudian, perlu fikirkan solusi lain untuk atasi masalah yang berlaku,” katanya.

Melatih pelajar untuk menjadi pejuang hak OKU

Unit Perkhidmatan OKU (Disablity Services Unit, DSU) yang dimulakan oleh Rozita bersama-sama kakitangan dan pelajar OKU lain pada April 2012, merupakan hasil usaha setelah terlibat dalam pengurusan UIAM selama 20 tahun.

DSU ditubuhkan dengan tujuan memberikan peluang yang sama untuk pelajar OKU mencapai kecemerlangan.

Pada tahun 2020, seramai 83 pelajar UIAM serta 14 kakitangan berstatus OKU.

Menurut Ruzita, selain daripada bantuan kerusi roda yang diberikan kepada tiga orang pelajar antarabangsa dari Afghanistan semasa awal penubuhan, DSU juga membantu dalam pengubahsuaian kediaman pelajar sesuai dengan kategori OKU pelajar.

DSU juga memperkasakan pelajar OKU melalui kelab Ibn Ummi Maktum (IMaC) yang dikelolai oleh pelajar OKU dan bukan OKU, bagi meningkatkan kesedaran tentang hak OKU di kalangan komuniti kampus.

 

“Kita hendak latih pelajar-pelajar ini menjadi pejuang-pejuang OKU. Mereka tahu isu yang ingin diketengahkan malahan juga dapat memperkembangkan kemahiran pengurusan organisasi mereka,” katanya.

Kini, dalam sesi orientasi pelajar baru, pelajar akan diperkenalkan kepada DSU, serta berpeluang mengikuti perkongsian pelajar-pelajar OKU sendiri.

“Pelajar-pelajar kita yang autisme dan juga mempunyai masalah kesihatan mental itu juga membuat perkongsian,” jelasnya.

Melalui sesi sebegini, Ruzita berkata, ia dapat mengubah pemikiran pelajar-pelajar supaya lebih bersikap empati di samping memupuk semangat keinsanan.

Perjuangan Ruzita tidak terhenti di UIA sahaja.

Dia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya dan terlibat dalam rundingan dan penggubalan dasar bersama pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang berkait rapat dengan golongan OKU.

 

Khusus bagi pelajar di IPT, Ruzita turut bertindak sebagai pengerusi bersama bagi membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi yang dirasmikan oleh menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik pada September 2019.

Pada ketika itu, terdapat perancangan untuk melaksanakan dasar tersebut melalui penubuhan unit OKU di universiti awam seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

‘Saya kini lebih berani’

Antara pelajar OKU yang mendapat manfaat usaha Ruzita adalah Muhammad Salim Harmanain, 30 yang kini melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana.

Kata Muhammad, apabila pelajar OKU mempunyai platform atau unit khas, ia melatih mereka cara hendak berkomunikasi dengan masyarakat luar.

“Sebenarnya menjadi sebahagian daripada ahli aktif dalam komuniti IMaC ataupun DSU sendiri, membantu saya untuk menyuarakan pendapat saya. (Saya) lebih berani.

“Dalam masa yang sama saya lebih terbuka berkongsi cabaran, kisah inspirasi kepada masyarakat,” kongsi Salim yang juga merupakan salah seorang jurucakap semasa sesi-sesi perkongsian tentang kesedaran terhadap golongan OKU.

 

Zahirah Zulkifli (gambar), 24 yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Sosial turut berkongsi bahawa atas bantuan Ruzita, dia berjaya meyakinkan ibunya untuk memberi keizinan menggunakan kerusi roda bermotor.

Sementara itu, Ruzita berkata, masyarakat am perlu menerima golongan OKU seperti sebahagian komuniti.

Katanya, penerimaan juga perlu bagi golongan OKU yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, seperti OKU penglihatan, autisme dan masalah pembelajaran, yang sering dipandang rendah oleh masyarakat.

 

“Dalam Islam, orang yang dalam kekurangan seperti OKU perlu diberi keutamaan oleh pemimpin.

“Sekarang ini, kita (OKU) pula yang perlu meminta-minta, walhal mereka (pemimpin) ini tidak menjalankan tanggjungjawab mereka,” katanya.

Bagi golongan OKU pula, Ruzita berpesan supaya sentiasa positif dengan keadaan diri.

“Kita perlu ada penerimaan dan kita bersangka baik kepada Allah SWT. Jadi, apabila kita dalam kesusahan macam mana pun, kita akan reda dan kita akan tenang,” kongsi Ruzita.