Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Stesen LRT tetap dibuka

Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi, kata Kementerian Pengangkutan.

Ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan semua premis yang tersenarai dalam sistem Hide termasuk tiga stesen LRT perlu ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta.

Tiga stesen terbabit, yang dikenal pasti antara kawasan berisiko adalah stesen KLCC, Masjid Jamek dan KL Sentral.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan berkata semua premis perniagaan yang terletak di stesen berkenaan akan ditutup.

"Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur. 

"Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasana," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kerajaan menggunakan sistem amaran baru yang dapat membuat ramalan jika sesuatu kawasan atau premis akan menjadi titik panas penularan.

Perkara itu dilakukan menerusi pengesanan kontak ke depan dan ke belakang yang dipacu oleh analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI).

Semalam kerajaan memaklumkan lokasi yang disenarai dalam Hide hanya perlu melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan pematuhan SOP yang lebih ketat.

Bagaimanapun, MKN kemudian memaklumkan premis yang dikenal pasti oleh Hide perlu ditutup serta merta selama tiga hari.

Timbul kekeliruan pada malam semalam apabila MKN menyiarkan infografik yang memaklumkan penutupan akan dibuat pada Isnin, tetapi ditarik semula selepas tengah malam.