Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Mengenang Mak Cik Kiah dan teka-teki PKP

Apa khabar Mak Cik Kiah? Tidak siapa boleh dengan mudah lupa akan seorang wanita bertuah apabila tiba-tiba namanya meniti bibir perdana menteri sekitar setahun lalu.

Nama itu jugalah yang kemudiannya menjadi begitu ramah dan harum untuk diulang-ulang orang, khususnya pengagum perdana menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sama ada Mak Cik Kiah itu adalah kisah dongeng atau benar, keramahan yang ditutur di lidah pemimpin itu perlu juga ditelan kerana memang tidak banyak pilihan yang ada.

Entahkan perit atau manis di anak tekak rakyat, kerajaan sepatutnya prihatin untuk merasai dan menterjemah dengan hati-perut mereka tentang bagaimana intonasi denyut nadi rakyat khususnya ketika wabak Covid-19 masih menjadi ancaman.

Kita sedia maklum Mak Cik Kiah dan sekelian marhaen yang seangkatan dengannya merupakan rakyat yang beruntung, barang kali (atau barang darab sekali pun). Pastinya Mak Cik Kiah sekarang tidak perlu resah gelisah kerana banyaknya bantuan dihulur kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Sebagai warganegara yang berniaga kecil-kecilan mungkin rutin harian Mak Cik Kiah itu tidak banyak berubah walaupun seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Sudah tentu jugalah dia seorang yang patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti sering kali atau sering banyak kali diberi peringatan oleh perdana menteri dan menteri-menteri kabinetnya yang 'super-ramai' itu.

Ambil tahu hal negara

Berdasarkan keterangan perdana menteri mengenai Mak Cik Kiah sebelum ini, pastinya dia bukan usahawanita yang berjaya lagi terkenal yang boleh 'ke sana ke sini ke sinun ke mari', apa lagi mahu mengadakan majlis keraian gilang-gemilang dengan kehadiran menteri itu menteri ini.

Pun begitu sudah tentu Mak Cik Kiah tetap taat dan sama sekali - atau dua tiga kali pun - tidak mahu dikenakan sebarang kompaun hingga mencecah RM50,000 akibat berniaga melebihi had masa ditetapkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Seperti kebanyakan marhaen lain, Mak Cik Kiah tetaplah perlu menjalani kehidupan. Perlu membanting tulang memerah keringan mencari makan. Walaupun hanya menyewa flat PPR dan suaminya diberi elaun Rela RM200 sebulan, keadaan itu tidak cukup untuk menjamin dapur Mak Cik Kiah tekal berasap.

Jualan pisang goreng perlu diteruskan. Atau mungkin Mak Cik Kiah berniaga kuih melaka pada bulan puasa ini. Itu pun kalau gerainya tidak disita, atau diarah tutup oleh pihak berkuasa tempatan.

Sebagai rakyat yang namanya diangkat perdana menteri sebagai suri teladan rakyat jelata yang ramai di bawah, penulis membayangkan Mak Cik Kiah masih sempat mengambil tahu hal ehwal negara.

Gambar hiasan

Berapa kes Covid-19 harian, misalnya, atau berapa jumlah kematian hari ini. Bazar Ramadan boleh dibuka atau tidak.

Mak Cik Kiah juga mungkin tertanya-tanya Pak Long Mael akan pakai baju warna apa pada sidang media akan datang. Begitulah antara lain cara Mak Cik Kiah membalas jasa perdana menteri yang menyebut namanya.

Mak Cik Kiah akan terus membanting tulang sesuai dengan kedudukannya sebagai rakyat marhaen terbanyak di bawah ini. Dia akan taat mematuhi dan pasrah dengan siri PKP yang berulang-ulang tapi berbeza-beza wajahnya.

Sudah tentu juga Mak Cik Kiah tiada menjadi pembangkang yang selalu mempersoal langkah-langkah kerajaan. Parlimen buka atau tutup, di mata Mak Cik Kiah semua yang dibuat kerajaan adalah laluan untuk ke syurga.

Kini masuk tahun kedua negara dan dunia dalam keadaan yang serba tidak kena. Dua minggu sekali rakyat Malaysia akan berdebar menunggu status PKP di sesuatu kawasan. Perlu bersyaratkah, diperketatkah, atau pemulihankah?

Mencari jawapan tuntas

Dan Mak Cik Kiah mungkin baik-baik saja, dia tidak ada keperluan untuk berpeleseran jauh-jauh, apatah lagi mahu merentas negeri untuk membeli kain langsir misalnya dan pastinya mengelak dijangkiti atau menjadi pembawa wabak tersebut.

Bagaimanapun bagi rakyat yang prihatin seperti Mak Cik Kiah dia amatlah kesal kerana kes-kes Covid-19 tidak semakin membaik. Semuanya seakan-akan memberi harapan palsu.

Tidak ada jawapan yang tuntas untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Rakyat cuma melihat dari jauh bagaimana kerajaan cuba mengawal pergerakan masyarakat dan pesan-pesan untuk patuh SOP.

Namun kesannya boleh dilihat pada pertambahan kes baru mutakhir ini.

Dalam keadaan ini Mak Cik Kiah pastinya akan tertanya-tanya bilakah semua ini akan berakhir? Sampai bila rakyat marhaen di bawah ini harus terkebil-kebil melihat PKP, PKPB, PKPD atau PKPP diulang-ulang?

Gambar hiasan

Sambil menganyam ketupat, Mak Cik Kiah bolehlah bertanya: apakah kerajaan tidak ada jawapan lebih tuntas selain daripada progam imunisasi yang sedang dijalankan? Atau kerajaan memang sudah tidak mampu untuk menterjemahkan faedah-faedah yang dinikmati Mak Cik Kiah seperti sebelum ini?

Kini, banyak negeri kembali dalam PKP, merentas negeri atau daerah dilarang, makan di kedai dilarang, sekolah dan sebagainya ditutup ketika sektor perkilangan dan pembinaan kekal dibuka walaupun data menunjukkan di situlah kes Covid-19 banyak dikesan.

Apa yang penting juga, sejauh mana pelaksanaan ini akan berlanjutan? Jika keadaan sama diulang-ulang seperti pelaksanaan yang lepas, tidak mustahil situasi yang berlaku kini ada berulang lagi di masa akan datang.

Ya ia memberi implikasi besar khususnya ke atas ekonomi rakyat. Maka di sinilah nasib marhaen seperti Mak Cik Kiah perlukan pembelaan lagi, lagi dan lagi.

Atau apakah kerajaan berpendapat apa yang sedia dinikmati Mak Cik Kiah sudah memadai ketika pandemik berlanjutan dan banyak hal dihadkan.

Sejauh mana kemampuan kerajaan untuk menampung pembelaan terhadap rakyat? Adakah sama kemampuan itu sama besarnya dengan saiz kabinet?

Barangkali di sini kita perlukan jawapan dan mungkin fatwa: apakah hukumnya menggaji berpuluh-puluh menteri dan timbalan menteri ketika perut rakyat semakin terjerut?

Juga, tidak berdosakah kerajaan kepada rakyat apabila memberi jawatan elit dan bergaji lumayan kepada seseorang yang sudah terbukti sering uzur dan dilihat tidak mampu melaksanakan amanah?

Seperti Mak Cik Kiah, penulis tidak perlukan jawapan. Ia sepatutnya boleh dituntut dan dijawab di parlimen tapi 'Abah' dan gerombolannya berpendapat parlimen bukan tempat yang selamat untuk mereka.

Cuma sekelian Aban, Pak Long, Pak Ngah atau pak-pak yang lain patutnya sedar, mereka sudah gagal. Hari esok akan datang dengan gagal yang lebih berat lagi. Mak Cik Kiah dan rakyat marhaen akan tetaplah terpinga-pinga menghitung nasib.

Pada masa sama orang kenamaan, selebriti dan orang yang petah berkata-kata dan digemari ramai bolehlah terus berkenduri-kendara, bertepuk-tampar, berpeluk-pelukan, melawak itu ini sambil menghitung laba pada setiap hujung bulan.

Apa pun, moga kita dan Mak Cik Kiah baik-baik sahaja hendaknya. Semoga segala kesakitan termasuk sakit hati dapat segera berlalu seperti Ramadan ini yang kian pergi.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang masih mencari-cari kuih bikinan Mak Cik Kiah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.