Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tak ada cadangan laksana PKP menyeluruh setakat ini - Ismail Sabri

Kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelaksanaan PKP bersasar juga boleh dilakukan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (Hide) yang boleh menunjukkan kawasan tertentu dengan penularan kes yang besar (titik panas) Covid-19 untuk dikenakan PKP.

"Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan yang banyak dengan skala paling kecil ialah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

"Bagaimanapun, macam-macam kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika tiada intervensi daripada kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas raya dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan laluan jambatan Compact Bailey 100 Kampung Sungai Putat di Jerantut.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Ismail Sabri ditanya jika kerajaan berhasrat melaksanakan PKP secara menyeluruh memandangkan peningkatan kes baru Covid-19 yang tinggi sejak kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam.

Batang kelapa jadi jambatan

Orang ramai juga bimbang jika PKP menyeluruh dikenakan pada saat-saat akhir sebelum Aidilfitri minggu depan.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi juga membincangkan kemungkinan PKP pada hari raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok untuk memberi peluang rakyat membuat persediaan sebaiknya.

Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP dengan mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan jambatan berkenaan, Ismail Sabri berkata ia dibuat selepas jambatan asal rosak akibat banjir teruk di Pahang awal tahun ini yang nenyebabkan ia ditutup sepenuhnya pada 24 Mac lalu.

Keadaan itu menyukarkan hampir 1,000 penduduk Kampung Sungai Putat dan kawasan sekitarnya ke bandar dan ke sekolah yang terletak di Felda Padang Piol.

Keadaan itu mendorong mereka mengambil inisiatif membaiki sendiri jambatan dengan menggunakan batang pokok kelapa.

"Bagaimanapun, jambatan itu dilihat tidak selamat menyebabkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan dua skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk melaksanakan pemasangan jambatan Compact Bailey 100 sepanjang 24 meter dengan lebar lima meter yang berjaya disiapkan dalam tempoh 17 jam pada 28 April lalu," katanya

Kerja pemasangan jambatan yang boleh bertahan sehingga 20 tahun itu melibatkan dua pegawai dan 58 anggota RAJD dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Jambatan itu merupakan jambatan bailey ketiga dibina TDM di Pahang bagi menggantikan kemudahan rosak akibat banjir, iaitu selepas di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran selain sebuah di Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak.

Sementara itu, penduduk kampung Sarina Mohamed, 40, berkata kerosakan jambatan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan utama untuk ke bandar dan Felda berhampiran yang mengambil masa selama hampir sejam, berbanding hanya 10 hingga 15 minit jika melalui jambatan tersebut.

"Sekolah terdekat berada di Padang Piol menyebabkan kami terpaksa keluar lebih awal iaitu jam 6.30 pagi untuk menghantar anak kerana jalan itu juga kecil dan berliku selain terpaksa berhenti memberi laluan jika ada lori sawit lalui," katanya.

Suri rumah, Che Norizan Che Dollah, 51, berkata jambatan yang merentangi Sungai Beletir itu pernah rosak akibat banjir pada 2014 namun keadaan lebih teruk pada tahun ini.

Katanya dia juga 'sempat' menggunakan jambatan batang kelapa itu selama seminggu sebelum JKR daerah menutup lalu lintas di situ atas faktor keselamatan.

Selain jauh, Che Norizan yang merupakan anak jati Kampung Sungai Putat berkata laluan utama untuk ke bandar juga agak sunyi kerana melalui kawasan ladang sawit menyebabkan dia risau untuk menunggang motosikal di situ.

- Bernama