Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Status OKU bukan penghalang jadi penunggang p-kelui

Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat seorang pemuda bekerja sebagai penghantar makanan sambilan bagi mencari pendapatan tambahan.

Muhammad Sidek Osman, 22 menjadi perhatian ramai apabila gambar motosikalnya yang ditunda penunggang p-kelui lain akibat rosak, tersebar di dalam media sosial, bulan lalu.

Ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini, beliau berkata situasi yang berlaku telah menjadi kebiasaan padanya dan dia tidak menganggap ia sebagai satu kesusahan yang besar.

Sidek, yang bekerja sepenuh masa di pusat servis di Setapak berkata, dia mula bekerja dalam perkhidmatan penghantaran makanan secara sambilan sekitar tiga tahun lalu.

“Sebenarnya, saya suka jalan-jalan, jadi saya cakap dalam minda saya, kerja jalan-jalan apa yang boleh bantu saya ekonomi? Masa itulah kawan ajak (jadi penghantar makanan),” kongsi Sidek.

Berketinggian hanya 108 cm serta mengalami kesukaran untuk berjalan, Sidek mempunyai fizikal yang serupa dengan individu yang dilahirkan kerdil.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa keadaannya adalah akibat daripada komplikasi kesihatan berkaitan penyakit kencing manis ketika ibunya hamil.

Berikutan keadaan fizikalnya, Sidek mengambil inisiatif mengubah suai motosikal biasa bagi memudahkan pergerakan semasa membuat penghantaran.

“Saya ambil besi di Klang, murah. Tak adalah harga asal macam di kedai. Ambil (besi) di kilang terus dan (ubah suai motorsikal di bengkel) di Kampung Pandan.

“Ketika di bengkel, dia (mekanik) buatlah ukuran daripada besi-besi, ikut kapasiti motor ini,” katanya.

Cabaran dan halangan semasa bekerja

Biasanya, Sidek mampu menyelesaikan tugasnya tanpa halangan, tapi ada juga situasi di mana kekurangan fizikalnya menjadi kekangan.

Contohnya, apabila pelanggan memintanya menghantar makanan ke pintu rumah dan tidak mengambil pesanan mereka dari lobi pangsapuri. Apatah lagi bagi pangsapuri yang tidak mempunyai lif.

Ia merupakan cabaran bagi Sidek kerana dia memerlukan masa yang lebih lama untuk menggunakan tangga berbanding individu bukan OKU.

 

Katanya, antara lain, pernah ada seorang pelanggan memberi alasan tidak dapat turun mengambil makanan yang dipesan kerana menjaga anak kecil.

“Saya telefon beritahu keadaan diri saya macam ni tapi dia kata, ‘Tak boleh, dik, ada anak kecil.’

“Saya kata, ‘Tak apa, sebab ada anak kecil, saya naik perlahan-lahan’. Bila saya sampai tingkat empat di depan rumah, tak ada langsung anak kecil. Semua anak sekolah menengah,” katanya.

Pada masa yang sama, Sidek berkata, masih juga terdapat pelanggan baik hati termasuk mereka yang memberikan makanan percuma untuknya dan rakan-rakan.

“Ada satu ketika, ada kemalangan. (Penghantar makanan) hubungi pelanggan, cakap kita tengah kemalangan.

“Tiba-tiba sedar tak sedar, pelanggan itu datang sekali (ke tempat kemalangan untuk) tolong,” katanya.

‘Saya tidak mahu dikasihani’

Sidek berkata, pendapatan hariannya boleh mencecah RM90 hingga RM100.

"Saya buat kerja sambilan ini dalam tempoh dua jam, dari jam 10 malam hingga 12 pagi, ketika hari bekerja," katanya.

Pada hujung minggu pula, seawal jam 8 pagi Sidek mula membuat penghantaran dan pulang dalam jam 1 pagi.

 

Dia berharap pendapatan sampingan ini dapat membantunya membuka sebuah perniagaan, dan menawarkan pekerjaan pada orang lain pula.

Semasa ditemu bual Malaysiakini, Sidek kelihatan sedikit janggal untuk berkongsi cabaran dan halangan yang dilaluinya.

Hidup berdikari dari usia yang muda, Sidek berkata dia kurang gemar berkongsi tentang kesusahannya kerana kurang selesa apabila dikasihani oleh masyarakat.

“Sebab saya kurang sikit minta bantuan pada orang. Saya lagi suka buat hal sendiri. Selesaikan sendiri, dah cukuplah,” katanya, yang juga tidak mengambil peruntukan kerajaan untuk golongan OKU.

Pemuda itu berkata sokongan keluarga dan dorongan daripada majikan menjadi pembakar semangat buatnya.

Namun, seperti individu lain, Sidek mengakui bahawa perasaan penat dan lemah semangat itu memang ada dalam diri.

Pada hari-hari begitu, beliau mengambil keputusan untuk berehat sebentar dan sentiasa bersikap positif bagi mengejar impiannya.

 

Bagi Sidek, dia menerima keadaan dirinya dengan hati yang terbuka malah bersyukur dengan pencapaiannya.

“Kena positiflah. Orang lain ada lebih daripada saya, tapi saya tak boleh asyik berfikir saya nak apa yang orang lain ada.

“Tak. Saya fikir apa yang saya perlu buat untuk jadi macam dia. Apa yang dia buat, saya pun boleh buat,” katanya.