Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hari pertama PKP Kuala Lumpur, bazar Ramadan tetap meriah

Pada hari pertama pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, suasana di bazar Ramadan tetap meriah dengan kehadiran pengunjung.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini di Bazar Ramadan Tasik Permaisuri Kuala Lumpur, pengunjung tetap beratur panjang di pintu masuk, menunggu giliran untuk mengimbas kod QR MySejahtera dan memeriksa suhu sebelum dibenarkan masuk bagi membeli juadah.

Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa, meskipun secara kasarnya pengunjung ramai datang hari ini, bagi mereka, penurunan bilangan pengunjung akibat PKP tetap dirasai.

Bagi peniaga kuih-muih yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 50, dia menganggarkan pengunjung hari ini berkurangan 30 peratus berbanding semalam.

Penjual nasi berlauk burung puyuh, Mohd Hafizal Mustafa, 32 pula, mencongak kekurangan pengunjung berdasarkan jumlah makanan yang dijualnya hari ini.

“Dua hari lepas, masa-masa begini (sekitar jam 7 petang), sudah 70 bungkus habis terjual. Tadi, cuma 30 bungkus (terjual). Itu pun kena lelong,” katanya.

Berbeza pula buat peniaga pulut panggang, Yasir Azmi, 40, dia tidak perasan pengurangan ketara daripada segi jumlah kehadiran pengunjung akibat pelaksanaan PKP hari ini.

Pun begitu, ketiga-tiga mereka memanjatkan rasa syukur masih mampu menjana keuntungan, meskipun mengaku jualan tahun ini jauh merosot berbanding dua tahun lepas. Untuk rekod, tahun lepas, bazar Ramadan langsung tidak dibenarkan beroperasi.

“Sambutan 70 peratus kurang (berbanding tahun-tahun sebelum Covid-19).

“Keuntungan hanya suku daripada biasa. Modal dah keluar, kenalah berniaga untuk habiskan,” kata Hafizal yang menambah, musim hujan di waktu petang akhir-akhir ini juga memburukkan keadaan.

“Kalau dulu, walaupun hujan, bazar tetap berjalan. Sekarang, hujan sahaja, bazar tak jalan, walaupun hanya gerimis. Kita peniaga sesak sikitlah,” katanya lagi.

Berdasarkan pemerhatian tadi, banyak gerai yang ditutup dengan payung-payung yang direndahkan.

Menurut Kamal, ada peniaga yang menutup terus gerai mereka seawal hari ketiga bazar dibuka kerana berasakan tidak berbaloi dengan keuntungan yang diperolehi.

Dari segi penjagaan prosedur operasi standard (SOP), mereka memuji pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis yang sering melakukan rondaan.

Kata Yasir, pada tiga hari pertama, penjagaan SOP agak tidak terurus, namun bermula hari keempat hingga ke hari ini, penjagaan SOP diperbaiki dan pengawasan diperketat, terutama di pintu-pintu masuk.

“Pengunjung juga jaga (SOP), jarang tak berjaga,” katanya.

“Polis dan DBKL memang akan ronda. Nampak saja macam tak ketat, tetapi mereka ronda empat hingga ke lima kali,” kongsi Hafizal pula.

Meskipun ada rasa bimbang terhadap wabak Covid-19 yang semakin mencatatkan peningkatan saban hari itu namun, bagi para peniaga, rezeki tetap perlu dicari.

“Dari awal lagi kami memang takut. Tapi, hidup mesti diteruskan.

“Penjarakan fizikal dari awal kita memang jaga, sentiasa pakai pelitup muka. Perlindungan semua dah kami buat,” kata Kamal.

Pengunjung juga ada yang berpuas hati terhadap tahap pematuhan SOP di bazar itu - daripada beratur di pintu masuk, sehinggalah pergerakan di dalam bazar - seperti disuarakan Mohd Farizan Zainal Abidin, 30, yang ditemui ketika sudah masuk waktu berbuka puasa dan pengunjung mulai surut.

“Walaupun bazar sudah nak tutup, mereka masih menjaga SOP. Kalau tak jaga, mungkin risau (hendak berkunjung),” kata jurutera tapak yang turut bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan itu.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat hari ini tidak ada bezanya dengan hari sebelumnya, meskipun PKP sudah dikuatkuasakan.

“Rasanya bersesak-sesak juga. PKP pun macam tak PKP. Kita jaga diri sendirilah. Tak berharap sangat (pada pengawasan pematuhan SOP di bazar), kita bergantung harap pada diri sendiri (untuk mematuhi SOP).

“Jaga diri sendiri,” kata Qella Zainal, 29.

Qella menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan operasi bazar diteruskan bagi membantu peniaga bazar untuk terus berniaga, asalkan pengunjung tahu menjaga penjarakan fizikal dan SOP.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, rata-ratanya, SOP dijaga dengan baik dalam kalangan peniaga mahupun pengunjung: pelitup muka sentiasa dipakai dan pengunjung juga sering beratur ketika mahu membeli juadah.

Pun begitu, di beberapa kedai yang menjadi tumpuan ramai, penjarakan fizikal ada ketikanya terabai, apabila pengunjung beratur terlalu dekat antara satu sama lain.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu pada kelmarin.

PKP itu bermula hari ini (7 Mei) sehingga 20 Mei 2021.

Sehari sebelum itu, enam daerah di Selangor turut diumumkan dikenakan PKP, dari 6 hingga 17 Mei.