Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gabungan PKS gesa pelaksanaan moratorium susulan PKP

Gabungan pertubuhan yang mewakili perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggesa kerajaan agar turut melaksanakan moratorium susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Industries Unite memberi peringatan bahawa banyak perniagaan telah kehabisan simpanan mereka akibat pelaksanaan PKP sebelum ini.

Meskipun hampir semua perniagaan dibenarkan beroperasi sewaktu tempoh PKP, gabungan itu berkata sekatan pergerakan tetap memberi impak kepada perniagaan mereka.

“Penting untuk melaksanakan moratorium. Ketika PKP 2.0, tiada moratorium diberikan, dikatakan kerana bank mengalami kekangan.

“Moratorium boleh dibuat berdasarkan kos dana. Kali ini ia satu kemestian kerana kebanyakan perniagaan telah menghabiskan simpanan mereka dan tidak dapat menjelaskan obligasi kewangan, "kata Industries Unite dalam kenyataan.

Gabungan itu mendakwa mewakili 110 persatuan perdagangan. Malaysiakini sedang berusaha untuk mengesahkannya.

Hasil semakan daripada beberapa pemimpin persatuan perniagaan menyatakan bahawa Industries Unite adalah gabungan longgar dan mereka tidak memberi input secara terus.

Dalam pada itu, gabungan itu turut menggesa kerajaan untuk memberikan lebih banyak bantuan kewangan kepada PKS dan mencadangkan penangguhan cukai selama enam bulan industri yang terjejas teruk.

“Kita perlukan hala tuju yang jelas dari kerajaan. Apa rancangan mereka untuk memulihkan ekonomi? Untuk memberi keyakinan dalam ekonomi. Sekarang, keyakinan dan semangat di tahap rendah.

“Sektor yang ditutup mewakili hanya sekitar 20 peratus daripada kluster Covid-19. Kilang antara yang tetap dibuka. Anggota kami tidak dapat melihat rasional perkara ini," kata gabungan itu.

Setakat ini, PKP dilaksanakan di Lembah Klang, Kelantan dan beberapa daerah di Perak, Johor dan Kedah.