Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno mahu ‘langgar’ MCA, letak calon di Seremban

Umno Seremban menyerahkan kepada pengerusi Umno Negeri Sembilan Mohamad Hassan untuk membuat keputusan akhir berhubung permintaan ahlinya yang mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen yang secara tradisinya ditandingi MCA itu.

Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussein memberitahu Malaysiakini bahawa hal tersebut telah diputuskan dalam satu mesyuarat Umno Seremban, susulan keputusan sayapnya semalam untuk memutuskan hubungan dengan MCA Seremban dan MCA Negeri Sembilan.

Zool Amali Hussein 

Zool mengesahkan keputusan sayap partinya untuk memutuskan hubungan dengan parti komponen BN itu, sebagai maklum balas terhadap provokasi yang dikatakan dibuat Ketua MCA Seremban Siow Koi Voon berhubung isu calon dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Dia (Siow) berulang kali memprovokasi kami tapi kami bersabar.

"Kami akan berjuang untuk (meletakkan) calon dari Umno untuk bertanding di Seremban.

"Pemuda Umno Seremban tak akan bekerjasama dengan MCA Seremban atau MCA Negeri Sembilan," katanya.

"Tetapi, Umno bahagian Seremban mungkin mempunyai keputusan berbeza. Jika mereka ada acara sama-sama, maka Pemuda Umno Seremban tak akan menyokongnya," katanya.

'Pemuda Umno Seremban putus hubungan dengan MCA bukan keputusan parti'


Baca: 'Pemuda Umno Seremban putus hubungan dengan MCA bukan keputusan parti'


Ketika dihubungi, Ketua Bahagian Umno Seremban Mustafa Salim memaklumkan bahawa sayap pemuda bahagian itu sudah dua tahun berturut-turut meluluskan usul agar Umno meletakkan calon di Seremban.

"Untuk dua tahun, usul itu dibawa ke peringkat pusat, dan keputusan akhir terletak di tangan pemimpin pusat," katanya.

Bandar Seremban, gambar hiasan

Mengesahkan surat Zool yang membenarkan keputusan Pemuda Umno Seremban memutuskan hubungan dengan MCA negeri, kata Mustafa, dia sudah menasihatkan kedua-dua belah pihak untuk tidak menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan persiapan BN dalam PRU-15 akan datang.

Pada PRU-14, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke dari DAP memenangi kerusi Seremban daripada setiausaha agung MCA Chong Sin Woon, dengan majoriti 30,694 undi.

Keputusan itu dicapai meskipun kerusi itu merupakan kerusi majoriti Melayu - kkra-kira 53 peratus daripada pengundi pada 2018.