Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP saran gubal garis panduan berdasarkan Hide

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mendesak kerajaan menggunakan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) dalam menentukan garis panduan untuk orang ramai melakukan aktiviti di tempat terbuka atau makan malam di luar.

Ong berkata dengan Hide, kerajaan hanya perlu menganalisis data dan mengenal pasti berapa banyak aktiviti secara terbuka yang berpotensi menjadi kluster Covid-19.

"Sekiranya jumlah kluster tidak besar - yang saya rasa akan terjadi - maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus segera membatalkan larangan berjoging dan bersenam di luar rumah dan membenarkan gim dan pawagam dibuka semula dengan SOP yang sudah ketat.

"Analisis yang sama juga harus dilakukan oleh Hide untuk aktiviti ekonomi lain seperti makan di restoran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ong berkata demikian susulan larangan sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerajaan sebelum ini berkata akan menggunakan sistem amaran baru bagi mengenal pasti secara lebih awal kawasan yang berpotensi menjadi kluster Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata sistem Hide akan dapat membuat ramalan jika sesuatu kawasan atau premis itu akan menjadi titik panas penularan.

Khairy Jamaluddin 

Perkara itu dapat dilakukan menerusi pengesanan kontak ke depan dan ke belakang yang dipacu oleh analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI).

Mengulas lanjut, Ong berkata restoran dan kedai yang menjadi kluster Covid-19 sebelum ini juga harus disiasat dan ditutup sementara jika SOP tidak dipatuhi dengan ketat.

Tambahnya, adalah tidak masuk akal sekiranya kerajaan untuk mengambil pendekatan "satu ukuran untuk semua" ketika sistem ramalan amaran sudah ada.

PKP dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Kelantan, dan beberapa bahagian di Selangor, Johor, Perak, Terengganu, dan Kedah.

Pakar penyakit berjangkit telah mengkritik larangan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP dengan berkata kegiatan senaman di luar adalah selamat ketika wabak.

[Baca laporan asal]