Dr M: Ku Li gagal pengaruh MP Umno tarik balik sokongan pada PN
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan kerjasamanya dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bagi menarik sokongan ahli Parlimen Umno gagal.
Mahathir mendakwa ahli Parlimen Gua Musang itu gagal mempengaruhi cukup ahli Parlimen Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dia berkata demikian dalam wawancara bersama portal Malaysiapost malam tadi, berhubung sidang medianya dengan Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, pada 14 Disember lalu yang menimbulkan kejutan.
"Tengku Razaleigh ini ada pengaruh dalam Umno, kalau dia boleh tarik dua tiga orang keluar (tidak menyokong kerajaan PN) seperti dia (maka) jatuh kerajaan, tetapi dia tidak berjaya tarik.
“Jadi saya bersama dengan dia (ketika itu) kerana dia kata boleh tarik sebahagian orang Umno tetapi tiada orang Umno nak keluar.
"Tiada siapa pun nak tinggal jawatan lumayan ini. Kawan dia atau orang yang dekat dengan dia tiada seorang pun, jadi dia tinggal seorang sahaja," katanya.
Sidang media dua bersama dua tokoh yang pernah berseteru itu dibuat sehari sebelum bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.
Ia dilihat sebagai usaha terakhir untuk menggagalkan RUU itu di Dewan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan PN tiada majoriti.
Ketika itu, Ku Li berkata negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh berbanding PN.
Usaha itu gagal apabila Belanjawan 2021 diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan majoriti tiga undi.
Kira-kira sebulan kemudian, dua lagi ahli Parlimen Umno, Ahmad Jazlan Yaakub dan Nazri Aziz menyusuli Ku Li dengan menarik balik sokongannya terhadap PN.
Namun pada masa sama, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan darurat yang antara lain menyebabkan Parlimen digantung.
Untuk rekod, pada November tahun lalu, Ku Li juga pernah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen agar menyokong usul undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai