Peguam kena kuarantin, prosiding permohonan Undi18 tertangguh
Salah seorang peguam yang mewakili Persatuan Pengundi Muda (Undi18) terpaksa menjalani kuarantin setelah berkontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan pendengaran kes yang sepatutnya berlangsung hari ini kepada 24 Mei.
Untuk rekod, Undi18 merujuk ke mahkamah untuk mencabar kerajaan yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.
Peguam Undi18 Lim Wei Jiet memberitahu Malaysiakini, pihaknya menulis kepada mahkamah untuk memaklumkan keadaan tersebut dan turut mencadangkan agar prosiding diteruskan hari ini menerusi aplikasi Zoom.
Terdahulu, prosiding hari ini dijadual secara bersemuka di hadapan hakim Ahmad Kamal Md Shahid dengan penghujahan daripada pasukan undang-undang yang bertindak untuk Undi18 serta wakil ketiga-tiga responden dalam perkara tersebut.
Tiga responden tersebut adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia. Mereka diwakili peguam kanan dari Jabatan Peguam Negara (AGC), Shamsul Bolhassan.
Lim berkata, mahkamah berpendapat sesi tersebut lebih baik ditangguhkan kepada 12 tengah hari pada 24 Mei akan datang.
“Kami mahukan prosiding dalam talian (hari ini) kerana salah seorang peguam kami berkontak rapat dengan pesakit Covid-19, namun mahkamah tidak terima (cadangan untuk buat prosiding dalam talian), jadi ia ditangguhkan,” kata Lim.
Ditanya adakah peguam yang menjalani kuarantin tersebut merupakan pasukan Undi18, Lim mengesahkan hal berkenaan.
Hari ini, prosiding ditetapkan untuk pasukan Undi18 menghantar kenyataan untuk membalas bantahan AGC terhadap permohonan semakan kehakiman.
Shamsul memberitahu wartawan mereka mengemukakan bantahan awal hari ini atas alasan permohonan itu adalah remeh, menjengkelkan dan pramatang pada tahap ini kerana belum ada tindakan yang diambil berkaitan perkara itu.
Pada 2 April lalu sekumpulan belia memfailkan permohon bagi mendapatkan beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu suatu inisiatif untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik (AVR) dilakukan.
Pemohon yang berusia antara 18 dan 20 tahun itu juga meminta suatu deklarasi bahawa warganegara yang berumur 18 hingga 20 tahun mempunyai kepentingan atau jangkaan yang sah bahawa mereka mempunyai hak untuk mengundi pada atau sebelum Julai tahun ini.
Pada 2 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini.
Takiyuddin berkata ketika ini SPR masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan menjangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus akan membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Selain kumpulan Undi18, lima belia dari Sarawak turut melakukan permohonan untuk semakan kehakiman berhubung perkara sama.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai