Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Loke minta ahli DAP henti debat 'tak sihat' berhubung hala tuju parti

Setiausaha organisasi DAP, Anthony Loke menyifatkan perdebatan yang tegang antara puak-puak dalam parti itu menjelang pemilihan DAP sebagai "tidak sihat".

Bagaimanapun, dia yakin parti itu tidak akan berpecah walaupun ahli dan pemimpin parti itu melabelkan antara satu sama lain sebagai Hua Sha (cauvinis Cina) dan Ying Sha (cauvinis Inggeris),  selain label "elit" dan "akar umbi".

Debat mengenai "Blue Ocean lawan Red Ocean" bermula sejak pilihan raya umum ke-13 apabila DAP cuba menarik pengundi Melayu dan menukarkan imej sebagai parti yang dikuasai Cina.

Isu ini berlaku lagi selepas Adun Sungai Pelek Ronnie Liu baru-baru ini mengkritik kepimpinan oarti itu dengan mengatakan DAP tidak sepatutnya mencairkan kecinaan hanya untuk menarik sokongan Melayu.

Loke berkata perdebatan seperti ini bukan sesuatu yang baru memandangkan terdapat para pemimpin berpendidikan Cina dan juga berpendidikan Inggeris dalam parti sejak awal.

"Saya yakin bahawa, pada akhir (selepas pengundian parti), semua orang akan tetap bersama di belakang parti," katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini dan Kinitv Khamis lepas.

"Debat mengenai hala tuju DAP adalah kecil dan hanya mendapat perhatian ahli parti. Apa yang lebih penting adalah masa depan negara, apa jenis negara dan masyarakat yang kamu ingin hidup bersamanya. DAP hanyalah salah satu faktor yang menyumbang kepada itu dan ia mesti menjadi faktor positif.

"Kepelbagaian dalam DAP adalah sesuatu yang perlu kita raihkan dan bukannya melihatnya sebagai kelemahan. Walaupun kita adalah pluralistik dalam pemikiran kita, kita tidak pernah kata yang kita mesti korbankan akar budaya kita," tambahnya.

Oleh itu, Loke berkata dia tidak pernah mempersoalkan arah parti atau ideologi yang digunakan.

Ahli politik berusia 44 tahun dan pernah bersekolah di sekolah kebangsaan itu menegaskan bahawa dia bukan 'Hua Sha' atau 'Ying Sha'.

"Saya belajar di sebuah sekolah kebangsaan, masuk universiti yang gunakan bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran ... mungkin saya seorang Ma Sha (Cauvinis Malaysia)," katanya secara bergurau.

"Begitu juga, sukar untuk menentukan sama ada parti ini hanya terdiri daripada Hua Sha dan Ying Sha. Ini tidak adil kepada struktur parti. (Seperti saya), ahli-ahlinya datang dari pelbagai latar belakang pendidikan, yang menjadikannya sukar untuk meletakkan label pada mereka," katanya.

Loke juga memberitahu terdapat 60,000 (30 peratus) anggota bukan Cina.

Untuk rekod, DAP mempunyai lebih daripada 200,000 ahli, dengan 70 peratus daripada mereka merupakan orang Cina. 

Kaum India terdiri daripada 20 peratus, manakala orang Melayu kurang daripada 10 peratus.

"Bagi saya, perdebatan mengenai apa yang dipanggil Hua Sha dan Ying Sha tidak sihat. DAP tak boleh membenarkan pemikiran cauvinistik dalam parti itu, tidak kira apa jenis chauvinisme," kata Loke.

'Tuduhan berdasarkan khabar angin'

Dia juga tidak bersetuju Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu yang menyatakan ahli biasa dianggap seperti 'askar upahan' oleh ahli elit dalam parti itu selepas pilihan raya umum 2008.

"Saya fikir Liu membuat tuduhan berdasarkan khabar angin. Adakah ia disokong dengan fakta dan contoh yang jelas? Siapakah golongan elit tu? Mereka yang (bersinar) selepas tahun 2008 termasuk Tony Pua, Hannah Yeoh dan Teo Nie Ching.

"Ambil Pua, sebagai contoh. Adakah adil untuk kata dia mengambil kredit tanpa apa-apa sumbangan? Ini tidak adil. Dia berada dalam parti sejak 2008 dan semua orang tahu dia adalah ahli parlimen yang cekap ketika membongkarkan tentang skandal kewangan.

"Saya tidak menafikan sumbangan akar umbi, tetapi saya fikir ia tidak adil untuk melabelkan pemimpin dengan kenyataan yang tidak ada asas. Kita mesti menghargai peranan semua orang dan saya fikir semua orang mempunyai peranan.

"Saya tidak boleh halang mereka daripada bercakap dan membahaskan isu itu. Sekiranya DAP mengeluarkan arahan 'tutup mulut', maka seseorang akan menyatakan bahawa demokrasi dalam parti itu mati.

"Ini bukan zero-sum game... adalah penting untuk kepimpinan terus bergerak  dan membawa semua orang. Biarkan mereka lihat naratif yang lebih besar dan arah yang lebih besar untuk parti," katanya.

Loke juga mendakwa Liu membangkitkan isu itu tanpa menawarkan penyelesaian.

"Sesiapa saja boleh membangkitkan isu dan mudah menjadi hero dalam parti, tetapi apakah penyelesaian anda? Apakah visi dan pendekatan anda untuk membawa parti ke hadapan? Setakat yang saya tahu, saya hanya mendengar tentang aduan dan masalah.

"Bagi Liu, dia telah diberi peluang itu. Selepas 2008, dia telah dijadikan ahli majlis eksekutif di Selangor. Dia adalah sebahagian daripada kepimpinan Selangor. Trek rekodnya perlu diteliti semasa tempohnya sebagai exco. Tidak adil untuk menuduh orang lain tanpa melihat diri anda dan kelemahan anda sendiri, "katanya.

Ditanya sama ada Liu masih diperlukan dalam DAP, Loke hanya menjawab: "Terserah kepada perwakilan. Bukan saya yang sepatutnua berkata sama ada dia diperlukan."

Liu sebelum ini bertikam lidah dengan pemimpin kanan DAP, menyebabkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengingatkan tentang ancaman luar dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Berikutan pendirian yang diambilnya, Liu dikritik oleh para pemimpin parti seperti Yeoh dan Pua.

DAP amalkan kepelbagaian

Bagaimanapun, Loke tidak menjangka perdebatan sedemikian akan berakhir dalam masa terdekat.

"Ini adalah peranan kita untuk merapatkan jurang perbezaan," katanya yang menegaskan pentingnya melihat perkara itu daripada perspektif antara satu sama lain.

Loke berkata "keghairahan" itu juga disebabkan pemilihan parti yang akan datang dan peralihan kuasa dalam parti memandangkan Lim Guan Eng berada dalam penggal terakhirnya sebagai setiausaha agung, jawatan yang dipegangnya sejak tahun 2004.

Semasa menegaskan bahawa DAP meraikan kepelbagaian, Loke berkata parti itu tidak akan mengabaikan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat Cina.

"Terdapat keperluan untuk mengimbangi (keadaan). Ia adalah satu cabaran kepimpinan baru yang mesti dihadapi," katanya.

Loke berkata DAP, yang dikritik kerana kurang penyertaan ahli Melayu, memerlukan masa untuk mengasah pemimpin dan calon Melayu.

"Dalam politik, perubahan mengambil masa. Anda tidak boleh kata jadikan DAP sebuah parti Melayu, letakkan calon Melayu dan pemimpin Melayu. Politik tidak dikira seperti itu.

"Teras kepimpinan, sama ada anda suka atau tidak, masih akan mempunyai wajah yang sama - pemimpin yang telah membina diri mereka selama bertahun-tahun," katanya.

Loke menamakan Syahredzan Johan, setiausaha politik kepada Kit Siang, sebagai salah seorang pemimpin yang berpotensi dijangka dipilih dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bulan depan.

"Kita telah kenal pasti pemimpin baru, semoga dia (Shahredzan) boleh jadi sebahagian daripada pasukan. Dia masuk (DAP) beberapa tahun lalu, tapi saya fikir latar belakang, kredibiliti dan keupayaan dia akan menjadi profil yang baik untuk parti."

Menjawab tuduhan, Loke menafikan bahawa DAP bertanding kebanyakannya di kerusi majoriti Cina sahaja.

"Ramai salah faham. Daripada 42 kerusi parlimen yang DAP menang pada tahun 2018, kira-kira 20 daripadanya adalah kerusi majoriti Cina. Ada yang kerusi campuran dengan majoriti Melayu. Ia termasuk Bangi, Seremban, Tenom dan Mas Gading yang merupakan kerusi majoriti Bumiputera Sarawak, "katanya.

Walaupun Seremban merupakan kerusi majoriti Melayu, Loke berkata dia tidak akan lari dari kawasannya.

"Saya akan pertahankan Seremban jika saya diletakkan di sana lagi," katanya.

Tindakan Bersatu menarik diri daripada gabungan Pakatan Harapan pada Februari 2020 membuka ruang kepada DAP untuk bertanding di lebih banyak kerusi, termasuk yang mempunyai majoriti Melayu.

"Kami masih dalam peringkatrundingan mengenai peruntukan kerusi (dengan gabungan PH). Jadi saya tidak mahu dedahkan sekarang," kata Loke.

BAHAGIAN 1: Loke bersedia galas tugas setiausaha agung jika diberi amanah


Wawancara ini dilakukan bersama oleh Kow Gah Chie, Lee Way Loon, Ng Xiang Yi, Mandy Leong dan Robin Koh.