Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Periksa haid: Malaysiakini kemuka senarai sekolah pada Radzi

Malaysiakini telah mengemukakan nama sekolah yang didakwa berlakunya kejadian pelajar perempuan menjalani pemeriksaan untuk membuktikan mereka sedang datang bulan kepada Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Ini selepas Radzi berkata siasatan kementeriannya setakat ini tidak menunjukkan tiada sebarang maklumat amalan berkenaan wujud.

"Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana supaya tindakan boleh diambil," kata Radzi pada minggu lalu menjelaskan pihaknya sedang berusaha mengesan kes seumpama itu di sekolah berasrama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Malaysiakini telah menerima laporan pelajar daripada tidak kurang 15 sekolah di mana berlakunya amalan dan insiden yang kelihatan seperti gangguan seksual.

Sebagai maklum balas kepada gesaan Radzi untuk mendapatkan nama sekolah, maka Malaysiakini  telah memberikan senarai nama lima belas buah sekolah kepada menteri itu pada Jumaat lalu.

Satu salinan juga dikirimkan kepada timbalan menterinya Muslimin Yahaya dan Dr Mah Hang Soon, serta ketua setiausaha Kementerian Pendidikan dan jabatan komunikasi korporat.

Malaysiakini menghantar senarai itu bersama-sama dengan maklumat lain seperti tarikh perlakuan yang didakwa (kebanyakannya dari tahun 2011 hingga 2018) dan warden atau guru yang dinamakan oleh pelajar. 

Nama-nama yang didakwa menjadi mangsa tidak diserahkan.

Ini dilakukan dengan tujuan untuk membantu siasatan. Sekolah yang dinamakan dalam senarai itu pula bukan bukti salah laku.

Malaysiakini juga telah menghubungi sekolah tebabit untuk mendapatkan maklum balas terhadap tuduhan tersebut, namun tidak ada maklum balas konklusif pada tahap ini.

Dalam senarai sekolah yang diserahkan kepada menteri itu, terdapat sekolah berasrama penuh, sekolah menengah, sekolah menengah agama dan juga sekolah rendah melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu dan Pahang.

Sejak dua minggu ini, berlaku pendedahan mengenai amalan memeriksa pelajar perempuan bagi memastikan benar-benar mengalami haid untuk mendapat pelepasan daripada melakukan solat atau ibadat lain.

Pemeriksaan tersebut - yang dilakukan guru, warden asrama atau pengawas - didakwa mungkin berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Pembuktian dikatakan perlu dibuat dengan meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan mereka menggunakan kapas, tisu atau jari.

Malah pelajar juga mendakwa mereka diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh, namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Di dalam Islam, wanita yang datang haid tidak sah melakukan ibadat.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor (gambar, bawah) menyifatkan amalan pemeriksaan haid pelajar itu tidak wajar kerana setiap orang mempunyai maruah yang wajib dihormati, termasuk hak menutup bahagian sulit daripada dilihat oleh orang lain.

Pemimpin veteran Rafidah Aziz, Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik telah menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap amalan tersebut.

Rafidah menuntut Kementerian Pendidikan menghentikannya dan menetapkan peraturan asas yang jelas mengenai cara sekolah, termasuk sekolah berasrama melayani pelajarnya.

Maszlee pula berkata, amalan menjijikkan seperti itu mesti dihentikan dan dikutuk, serta seharusnya tidak pernah berlaku di mana sahaja, apalagi di sekolah, tempat kanak-kanak sepatutnya selamat dan dilindungi daripada sebarang bentuk bahaya dan penderaan.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Dr Andrew Mohanraj berkata pemeriksaan haid itu "satu bentuk buli" yang akan memberi kesan negatif selama bertahun-tahun.

Pakar psikologi itu menggesa Kementerian Pendidikan menghentikan amalan berkenaan.

Dalam pada itu, seorang bekas pelajar mengesahkan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menghubunginya mengenai dakwaan pemeriksaan tersebut.

Ini selepas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan dan menurut pandangan peribadinya, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh mana-mana sekolah kepada pelajar.