Shazni: Adakah media hanya 'bebas' jika puji menteri?
Bersempena hari kebebasan media antarabangsa 2021 hari ini, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin mempersoalkan ruang kebebasan akhbar dalam negara.
Soal Shazni, mungkinkah kata ‘bebas’ bermaksud laporan media yang hanya selari dengan keinginan kerajaan.
“Atau dikatakan ‘benar-benar bebas’ jika memuji menteri walaupun tak reti dan tak diketahui sedang buat kerja apa?
“Ini adalah persoalan yang perlu dijawab demi masa depan demokrasi dan kebebasan akhbar yang semakin kelam,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Untuk rekod, dalam masa 14 bulan pentadbiran PN, sudah ada beberapa siasatan ke atas media dan Malaysia jatuh sembilan lagi anak tangga pada indeks kebebasan media tahunan Wartawan Tanpa Sempadan atau Reporters Without Border (RSF).
Pada tangga ke-119, Malaysia diapit antara Republik Kongo dan Nigeria.
Bagi negara-negara di rantau ini, hanya Indonesia (113) yang mencatatkan kedudukan lebih baik daripada Malaysia. Negara Asia dengan kedudukan terbaik adalah Korea Selatan (42).
Ranking terbaik Malaysia adalah pada tahun 2020 (101 dari 180 negara) sementara ranking terburuk adalah pada tahun 2014 dan 2015 (147).
Shazni juga berkata ketika satu dunia meraikan kebebasan akhbar, media di Malaysia sebaliknya masih bergelut untuk berjuang demi laporan berita yang menyebelahi rakyat.
Dia juga berkata demikian merujuk laporan Astro Awani yang kini disiasat polis berhubung kontroversi penyampai beritanya yang mengkritik isu kompaun RM50,000 terhadap dua peniaga kecil di Kelantan.
“Berita duka lara ini berlaku ketika kita susah dan sedang bergelut untuk hidup.
“Namun ketika ada wartawan yang berani menongkah arus laporan dengan mempersoal ketidakadilan yang berlaku, ia seakan ancaman yang seolah-olahnya tidak mahu kesusahan rakyat ini diperjuangkan oleh siapa pun.
“Segala kata-kata ditanggap sebagai simbol untuk menentang pihak yang menguatkuasa undang-undang, walhal yang dipersoal hanyalah ketidakadilan pihak berkuasa,” kata Shazni lagi.
Sementara itu, Shazni turut mempersoalkan isu prosedur operasi standard (SOP) yang menunjukkan amalan 'antara dua darjat'.
“Hari paling bermakna ini juga tiba ketika kita beroleh khabar di sana ada rakan dan sahabat yang tidak sempat menatap wajah orang tuanya buat kali yang terakhir kerana dilarang untuk merentas negeri," katanya.
Pun begitu, pada waktu sama Shazni mendakwa terdapat juga "orang berkepentingan dan orang-orang agama dibenarkan rentas negeri untuk majlis tahnik anak selebriti tersohor."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai