Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'RM2.25 bilion patut dibelanja untuk B20 bukannya pembekuan kenaikan tol'

RM2.25 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan PN untuk memastikan pengendali lebuh raya tidak menaikkan tol pada tahun ini seharusnya dibelanjakan untuk komuniti B20 yang sedang berjuang meneruskan hidup semasa wabak Covid-19, kata anggota jawatankuasa pusat PSM Sharan Raj.

"RM2.25 bilion itu dapat digunakan untuk menyediakan RM900 sebulan Pendapatan Asas Sejagat Bersasar (Mubi) selama sekurang-kurangnya setahun kepada kira-kira 200,000 isi rumah B20 untuk mengurangkan masalah kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, B20 merupakan golongan yang membelanjakan pendapatan bulanan mereka untuk makanan, rumah dan pakaian.

Kerajaan sebelum ini mengatakan bahawa ia membekukan kenaikan tol yang dijangka bagi 24 lebuh raya dengan kos RM2.25 bilion memandangkan kenaikan kos sara hidup akibat pandemik Covid-19.

Namun, Sharan mengatakan golongan yang paling rentan, terutama mereka yang berpendapatan 20 peratus terbawah (B20), tidak akan melihat kesan material dari pembekuan tol.

Malah, katanya, ada yang tidak dapat memperoleh pendapatan sepanjang wabak tersebut, menyebabkan mereka diusir dari tempat tinggal, kekurangan makanan dan ada yang beralih kepada ceti haram dan bunuh diri.

Sharan mengatakan projek lebuh raya, yang didorong sejak mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pertama kali menjadi perdana menteri dari tahun 1982 hingga 2003, pada dasarnya memberikan keuntungan tetap tanpa risiko apabila kerajaan menjamin pampasan.

Dia menambah bahawa "sangat memalukan" apabila kerajaan perlu memberikan RM2.25 bilion kepada pengusaha lebuh raya di tengah pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua juga telah mengkritik pampasan kepada pengusaha tol.

Pua, yang pernah bertugas sebagai pegawai khas menteri kewangan di bawah pemerintahan PH, mengatakan rancangan PH untuk mengambil alih lebuh raya tol tertentu di Lembah Klang akan menjimatkan lebih banyak wang kerajaan dan juga memberikan potongan kepada pengguna jalan raya.

Kerajaan PN telah membatalkan rancangan itu setelah berkuasa dan kini mencari cadangan alternatif.