Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suami isteri, 2 rakan didakwa edar ganja hampir 400kg

Sepasang suami isteri dan dua lagi yang lain didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat lebih 392 kilogram (kg) dua minggu lalu.

Khairul Idzam Khairuddin, 50; bersama isterinya Fazliana Zainudin, 37, serta Mohd Kamarul Kamaludin, 37, dan Adibah Noor Nekmat, 31, didakwa di hadapan majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya disyaki kanabis dengan anggaran berat 392.767kg.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Paya Bemban, Kota Bharu, kira-kira jam 8 malam pada 20 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendali timbalan pendakwa raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kejayaan pihak polis mematahkan cubaan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu untuk bekalan kepada penagih di ibu negara, Johor dan Indonesia dalam dua serbuan berasingan dua minggu lalu. 

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah berjaya merampas dadah jenis ganja serta syabu bernilai lebih RM4.58 juta.