Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apa yang anda perlu tahu ketika daftar vaksin AstraZeneca

PANDUANKINI | Mulai tengah hari ini, pendaftaran untuk mereka yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 AstraZeneca akan dibuka.

Vaksin itu dirundung kontroversi atas risiko berlakunya gumpalan darah - dengan kebarangkalian amat kecil tetapi mengancam nyawa. Pada masa sama, manfaatnya masih melangkaui risiko yang dibawa wabak Covid-19 itu sendiri.

Berikut apa yang anda perlu tahu tentang vaksin AstraZeneca dan bagaimana untuk mendapatnya - jika anda individu berusia 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kerajaan juga menyediakan panduan dua halaman berkenaannya di sini.

Perkembangan semasa

Kerajaan mewujudkan saluran khusus bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin ini, yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford.

Pendaftaran untuk 268,000 penerima akan dibuat bermula tengah hari ini (2 Mei) berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. Temu janji vaksinasi pertama akan dibuat Rabu ini (5 Mei).

Ia dibuka kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor berusia 18 tahun ke atas yang telah pun mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Lokasi

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk AstraZeneca adalah di Universiti Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC).

Ada boeh mendaftar di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 nanti.

Selepas pendaftaran

Selepas mendaftar, akan akan memilih tarikh untuk temu janji dan lokasi untuk menerimanya. Anda akan dimaklumkan tentang slot masa menerusi SMS atau aplikasi MySejahtera.

Jika anda ada sejarah sistem imun yang dilemahkan, kesan alahan serius (anaphylaxis) dan masalah pendarahan, anda perlu membuat penilaian pravaksinasi di klinik. Perkara sama perlu dilakukan untuk vaksin lain.

Sebaik tiba di PPV, doktor akan menilai kesihatan anda dan menentukan anda sesuai menerima vaksin AstraZeneca atau tidak.

Selepas menerima dos pertama, anda dijangka menerima dos kedua dalam masa 12 minggu. Sela masa ini lebih lama berbanding vaksin lain.

Jika doktor mendapati anda tidak patut menerima vaksin AstraZeneca, anda akan kembali menunggu giliran untuk menerima vaksin lain.

Bagaimana jika saya terdedah dengan Covid-19 ketika menunggu dos kedua? Sejauh mana vaksin ini berfungsi?

Kesan vaksin AstraZeneca dapat dilihat selepa pengambilan dos pertama, walaupun piawaiannya adalah dua dos dalam masa empat minggu.

Analisis yang diterbitkan The Lancet pada Mac lalu mendapati ia memiliki kadar keberkesanan 76.7 peratus bagi menghalang jangkitan bergejala selepas 21 hari pengambilan dos pertama, dan perlindungan kekal sekurang-kurangnya untuk 90 hari selepas suntikan.

Lebih mutakhir, agensi kesihatan UK melihat transmisi Covid-19 bagi mereka yang menerima satu dos vaksin AstraZeneca atau Pfizer.

Menurutnya, jika penerima didapati positif Covid-19 tiga minggu selepas dos pertama AstraZeneca, kemungkinan untuk mereka menjangkiti isi rumah yang belum divaksin kurang 38 peratus. Untuk vaksin Pfizer pula, kadarnya kurang 49 peratus.

Selepas dos pertama, amat jarang berlaku kes positif dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia.

Bagi yang menerima dua dos, pelbagai ujian klinikal melaporkan kadar keberkesanan melawan jangkitan bergejala antara 62 hingga 79 peratus, dan 100 peratus perlindungan terhadap rawatan hospital dan kematian.

Sementara itu, analisis The Lancet juga mendapati keberkesanan vaksin bertambah baik jika sela masa dua dos adalah 12 minggu atau lebih, berbanding sela masa yang lebih singkat.

Ia mendapati keberkesanan 55.1 peratus jika dua dos diberi dalam masa kurang enam minggu. Tetapi kadar itu meningkat sehingga 81.3 peratus jika dua dos diberi dalam masa 12 minggu atau lebih.

Untuk rekod, 12 minggu adalah sela masa maksimum yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Bagaimana dengan risiko gumpalan darah?

Pihak berkuasa kesihatan seluruh dunia kini mengakui wujud kaitan antara vaksin AstraZeneca dengan gumpalan darah - dengan kebarangkalian sangat kecil tetapi berisiko mengancam cawa - dikenali sebagai thrombosis dengan sindrom thrombocytopenia (TTS). Kaitan ini diyakini sebagai sebab-akibat dan bukan hanya kebetulan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan sama turut mengesyorkan vaksin ini terus digunakan dan menyatakan manfaatnya untuk menghindari jangkitan wabak jauh melangkaui risikonya.

Medical and Healthcare Regulatory Agency (MHRA) UK berkata sehingga 31 Mac, nisbah berlakunya gumpalan darah adalah empat orang bagi setiap sejuta yang menerima vaksin ini. Daripada 79 kes yang dilaporkan, seramai 19 orang meninggal dunia.

Sejak itu, ia telah menerbitkan garis panduan terbaru bagi penerima vaksin dan pekerja kesihatan untuk mengenal pasti kesan sampingan. Doktor diminta merujuk pesakit kepada pakar hematologi dengan kadar segera.

Sementara itu, Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata risiko gumpalan darah adalah satu dalam 100,000, dengan sedikit perbezaan mengikut peringkat usia.

Dalam senario penularan sederhana, di mana hanya ada 401 kes positif bagi populasi seramai 100,000 dalam masa sebulan, ia menganggarkan vaksin ini akan menurunkan kadar perlu menerima rawatan hospital sebanyak 37 peratus bagi setiap 100,000 orang berusia antara 20 hingga 29 tahun, dengan 1.9 kes TTS.

Kalangan penerima yang lebih berusia pula berisiko lebih tinggi untuk jangkitan teruk dan pada masa sama dengan kadar risiko TTS lebih rendah.

Manfaatnya lebih jelas apabila kadar penularan lebih tinggi, memandangkan semakin kurang yang memerlukan rawatan di hospital. Pada masa sama, kalangan yang lebih muda mungkin mendapati manfaat yang berkurang dalam kadar penularan yang rendah.

EMA membuat jangkaan risiko dan manfaat vaksin AstraZeneca dalam aspek hospitalisasi, kemasukan di ICU, dan menghalang kematian dalam tiga keadaan berbeza. Keadaan "penularan sederhana" adalah paling hampir dengan apa yang berlaku di Lembah Klang pada masa ini.

Manfaat berbeza vaksin ini mengikut peringkat usia dan faktor seperti insiden Covid-19 setempat adalah sebab utama sesetengah negara hanya meluluskannya untuk peringkat usia tertentu.

Di Kuala Lumpur, kes Covid-19 bagi Jan-April 2021 adalah 1,576 kes bagi setiap 100,000 orang. Secara purata - 392 kes bagi setiap 100,000 setiap bulan.

Di Selangor pula, terdapat 1,475 kes bagi setiap 100,000 dalam tempoh yang sama, atau purata 369 kes bagi setiap 100,000 setiap bulan.

Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil

Menurut JKJAV, risiko TTS adalah 9.3 bagi setiap sejuta dos, berbeza dengan anggaran MHRA dan EMA.

Ia berkata anda perlu memantau petanda dan gejala untuk empat hingga 30 hari selepas vaksinasi dan mendapat rawatan segera jika mengalami:

1. Sakit kepala yang baru dan teruk, serta tidak dapat dikawal dengan ubat tahan sakit, atau bertambah teruk.

2. Sakit kepala yang bertambah teruk ketika berbaring atau tunduk.

3. Sakit kepala luar biasa yang disertai dengan:

  • Penglihatan kabur, loya dan muntah
  • Kesukaran bertutur
  • Rasa lemah, mengantuk atau sawan
  • Terdapat tompok merah baru di bawah kulit, lebam atau pendarahan yang tidak dapat dijelaskan
  • Sesak nafas atau sakit dada, kaki bengkak atau sakit perut berterusan

Bagaimana jika berlaku gumpalan darah kepada saya?

Selain mendapatkan rawatan segera, anda mungkin boleh membuat tuntutan dengan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Di bawah skim ini, penerima vaksin yang mendapat kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan hospital jangka lama layak menerima sehingga RM50,000.

Mmereka yang mengalami kecacatan kekal atau kematian pula akan menerima bantuan berjumlah RM500,000.

Ada kesan sampingan lain?

Sepertimana vaksin lain, kesan sampingan biasanya ringan dan akan hilang sendiri dalam masa beberapa hari.

Kesan sampingan biasa termasuk rasa sakit di kawasan suntikan, lesu, sakit kepala, sakit sendi dan loya. Bagaimanapun, tidak semua yang akan mendapat kesan sampingan ini.

Sebanyak satu daripada 10 orang mungkin mengalami demam, muntah atau cirit-birit, dan gejala seperti seakan selesema. Kira-kira satu daripada 100 orang mungkin mengalami pening kepala (dizziness), selera makan berkurang, ruam dan nodus limfa membesar.

Anda akan mendapat perincian lanjut tentang kemungkinan kesan sampingan di PPV, termasuk bila anda perlu dapatkan rawatan.

Jika anda merasakan sedang mengalami kesan sampingan, atau walaupun tidak pasti, anda boleh buat laporan menerusi aplikasi MySejahtera, selain mendapatkan rawatan jika perlu.

Ini akan membantu pihak berkuasa kesihatan mengesan kesan sampingan vaksin yang sangat jarang atau terlepas ketika ujian klinikal, sepertimana dalam kes risiko gumpalan darah yang dikesan MHRA dan EMA.

selain itu, anda boleh membuat laporan di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).


PANDUANKINI ini disediakan oleh Koh Jun Lin.