Kuih nekbat tak lapuk ditelan arus kemodenan
Ketika pelbagai menu makanan moden muncul di pasaran dari semasa ke semasa, namun kuih tradisi turun-temurun di Kelantan masih relevan dan tetap menjadi pilihan.
Lebih sinonim di bulan Ramadan, kuih nekbat membuktikan betapa arus kemodenan semasa tidak melenyapkan citarasa tradisi.
'Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas', begitulah sajian pencuci mulut itu terus mendapat sambutan tatkala berbuka puasa bagi sesetengah penduduk Kelantan yang merasa tidak lengkap tanpa hidangan kuih nekbat.
Kuih yang terkenal dengan rasa manis ini boleh dianggap makanan eksklusif kerana hanya muncul setahun sekali pada bulan puasa.
Ini diakui pembuat kuih nekbat, Nafisah Yunus, 60, yang berkata kuih tradisional ini diusahakan oleh keluarganya turun-temurun sejak lebih 30 tahun lalu dan sentiasa mendapat permintaan yang memberangsangkan
“Saya hanya membuat dan menjual kuih nekbat pada bulan Ramadan. Permintaannya tinggi pada setiap tahun dan ada ketikanya saya tidak mampu untuk mengambil tempahan luar selain daripada jualan harian.
“Pada bulan puasa ini, kebiasaannya kuih nekbat akan terjual sebanyak 1,000 biji sehari dan jualan akan habis awal sekitar jam 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kampung Merabang Kubang Golok, Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Memerlukan kesabaran
Berkongsi tentang proses pembuatan kuih nekbat yang memiliki bentuk seakan-akan kuih bahulu ini, Nafisah berkata sebaik selesai bersahur, dia akan memulakan proses pembuatan nekbat.
Katanya, bahan mentah yang diperlukan untuk membuat nekbat amat mudah dan ringkas.
Bagaimanapun, proses untuk menghasilkannya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu dibuat dengan teliti untuk mendapatkan nekbat yang cantik bentuknya dan rasanya yang sedap.
“Resepi dan bahan agak mudah kerana kita hanya memerlukan telur, tepung, gula dan sedikit bahan pewarna untuk menghasilkan kuih nekbat.
“Dalam sehari, saya memerlukan 100 biji telur dan 15 kilogram gula dicampur bersama adunan tepung. Tetapi, untuk proses pembuatannya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Pertama sekali, saya akan pukul telur tanpa berhenti sehingga kembang dan berbuih lalu taburkan tepung yang disangai sedikit demi sedikit sambil dikacau sebelum dibakar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia akan menggunakan tradisi lama keluarganya untuk membakar nekbat iaitu dengan menggunakan sabut kelapa.
“Pada zaman moden ini, kebiasaan anak muda akan menggunakan ketuhar untuk membakar nekbat kerana prosesnya lagi cepat.
“Tetapi di sini, nekbat akan dibakar menggunakan cara tradisional iaitu menggunakan sabut kelapa supaya aromanya tidak hilang dan saya berjaya menghasilkan 300 biji nekbat dalam tempoh satu jam,” jelasnya.
Bagi menikmati kelazatannya, nekbat yang dibakar perlu disira dengan air gula yang dicampur bersama bunga cengkih dan daun pandan.
Menurut Nafisah, sajian generasi terdahulu itu diusahakan oleh ibunyanya lalu diteruskannya sejak 15 tahun yang lalu dengan dibantu oleh tujuh orang tenaga kerja yang lain.
Juala tetap laris meski PKP
Dalam mengekalkan kesempurnaan asli kuih ini, Nafisah menurunkan ilmu pembuatan kuih nekbat kepada adiknya yang berusia 45 tahun apabila melihat minatnya untuk menyambung tradisi keluarga ini.
“Saya menurunkan ilmu dan resepi milik keluarga ini kepada adik saya, Zainon Yunus, kerana dia memiliki minat yang mendalam terhadap pembuatan kuih tradisional terutamanya nekbat,” katanya.
Tambahnya lagi, bukan semua orang dapat mewarisi kuih nekbat ini kerana ia memerlukan kepakaran yang tinggi ketika membancuh putih telur bersama tepung gandum.
"Tetapi, melihat kepada lonjakan permintaan dan semangat anak-anak kampung yang datang belajar untuk membuat kuih nekbat memberi harapan yang menggunung kepadanya untuk meneruskan legasi ini.
“Anak-anak muda kampung ini kebiasaan datang untuk belajar dengan saya cara pembuatan nekbat ini walaupun cara pembuatannya susah apabila ada masa terluang.
“Alah bisa tegal biasa, saya yakin anak-anak muda ini akan biasa dan akan arif untuk membuat kuih nekbat kerana semangat dan minat mendalam,” katanya.
Harapan Nafisah, dia berharap agar kuih nekbat ini tidak hilang ditelan zaman dan terus dikenali generasi yang akan datang.
Sementara itu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu kepada empat orang cahaya mata itu mengakui jualannya tidak terjejas kerana sambutan meriah oleh pelanggan tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Jualan nekbat di sini tetap laris seperti tahun-tahun sebelumnya. Walaupun dalam tempoh PKP, orang tetap beratur dan datang membeli kuih nekbat.
“Pelanggan di sini berkata, kuih nekbat menjadi pelengkap selera lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa bersama keluarga,”katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai