Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Guan Eng tak dapat hadir Konvensyen DAP Johor kerana dikuarantin

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak akan dapat menghadiri Konvensyen DAP Johor esok selepas dia mempunyai kontak dengan pesakit positif Covid-19 dan kini sedang dikuarantin di rumah.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini pagi ini.

Menurut Loke, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan dia akan hadir di konvensyen DAP Johor bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Dia juga menyebutkan bahawa Gobind mungkin akan memberikan ucapan perasmian di konvensyen tersebut.

Semalam, veteran DAP Lim Kit Siang juga mengatakan bahawa dia dikuarantin selama 10 hari setelah mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 dan tidak dapat menghadiri konvensyen dan pemilihan negeri.

Untuk rekod, Guan Eng dan Kit Siang telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 masing-masing pada 26 Mac dan 6 April.

Perwakilan DAP Johor akan memilih pemimpin negeri mereka pada hari Ahad, 2 Mei.

Pengerusi DAP Johor Liew Ching Tong dan timbalannta, Teo Nie Ching adalah antara 40 calon yang bertanding dalam pemilihan, di mana hanya 15 pemimpin yang akan dipilih.

DAP mempunyai sistem pemilihan dua peringkat. Pada pusingan pertama, perwakilan cabang memilih anggota jawatankuasa negeri, yang seterusnya memilih barisan 15 anggota negeri pada pusingan kedua pengundian.

Pemilihan negeri dijangka akan semakin sengit kerana dilaporkan bahawa setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin dan pasukannya akan mencabar Liew. Beberapa laporan mengatakan Tan akan bekerjasama dengan bekas pengerusi DAP Johor Boo Cheng Hau untuk mengalahkan Liew.

Tan dan Dr Boo bekerjasama dan melakukan 'serangan mengejut' terhadap Liew pada pemilihan 2018 tetapi Liew berjaya mempertahankan jawatan pengerusi DAP Johor bagi penggal ketiga.