Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anwar: Tiada sesiapa perlu dizalimi hanya kerana bangsa mereka

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini tampil menuntut keadilan di atas kematian A Ganapathy yang didakwa dipukul ketika dalam tahanan polis.

Pengerusinya, Anwar Ibrahim berkata tidak ada seorang pun perlu dizalimi sedemikian rupa hanya kerana bangsa mereka.

"Dalam satu-satu negara, umpamanya satu kaum, persepsinya dibelasah terus menerus di dalam lokap," kata Anwar ketika berucap pada program bicara Ramadan dan Iftar Wadah sempena majlis kutipan dana tabung pengembaraan Anjung Rahmat di Bangi, malam tadi.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kematian mengejut Ganapathy.

Lelaki itu yang merupakan seorang peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, meninggal dunia pada 18 April di Hospital Selayang.

Dia ditahan oleh polis pada 24 Februari sebelum dibebaskan dan dimasukkan oleh pihak polis ke Hospital Selayang.

Pada 11 Mac lalu, ibu mendiang, S Thanaletchumy membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

Dalam laporan itu, Thanaletchumy, 60, berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan masalah jantung, menurut laporan itu lagi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga presiden PKR berkata insiden sedemikian telah berlaku sejak sekian lama.

"Ada yang buat-buat terkejut, seolah-olah ia jarang berlaku. Saya kata podah, saya tahu apa yang berlaku. Saya alaminya (dipukul) sewaktu 1998 dan saya beritahu bila saya dibebaskan, saya tidak mahu orang lain dizalimi sedemikian.

"Sama ada namanya Melayu, Cina, India atau anak Sabah mahupun Sarawak," katanya.

Kata Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador perlu memberi kenyataan lengkap dan menentukan sekiranya ada jenayah dilakukan, tindakan tegas perlu diambil segera.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan menggesa Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan untuk mengarahkan inkues dan bertindak serta merta terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian Ganapathy.

"Tidak sukar untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kecederaan yang dialami oleh A Ganapathy, yang mengakibatkan kematiannya ketika dia berada dalam tahanan polis,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin Pemuda PKR Akmal Nasir, Thiban Subramanaim, dan Adrian Kumar Vendargon menyokong sepenuhnya seruan NGO Eliminating Deaths in Custody Together (EDICT) supaya Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan terhadap kematian Ganapathy, selaras dengan kuasa-kuasa Peguam Negara di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah.

Manakalan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata bahawa Jabatan Peguam Negara harus mengadakan siasatan untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana pegawai polis yang terlibat dalam kematian tersebut.

"Kengapa seksa seorang suspek hingga mati? Mendiang belum didakwa atas apa apa kesalahan.

"Ini adalah penyalahgunaan kuasa polis," katanya.

Kematian Ganapathy dalam tahanan telah memunculkan kembali permintaan pemerintah untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam video TikTok pada hari Rabu berkata kes kematian dalam tahanan sebelumnya menunjukkan bagaimana ada orang yang boleh menjadi mangsa kekejaman polis.

RUU IPCMC diusulkan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tetapi kemudian diganti dengan Rang Undang-Undang IPCC oleh kerajaan Perikatan Nasional pada bulan Ogos tahun lalu.

Tidak seperti yang IPCMC, IPCC tidak mempunyai kuasa tatatertib untuk menangani salah laku polis.