Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jenazah pekerja Pakistan dibawa pulang Jumaat

Jenazah seorang pekerja Pakistan, Shahzad Ahmed, yang dipercayai membunuh diri kerana tidak menerima gaji selama enam bulan daripada majikannya, akan dibawa pulang pada Jumaat ini, kata Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

“Gaji yang tertunggak dan bantuan ihsan telah disediakan oleh syarikat kepada keluarga si mati.

"Jenazah akan dibawa ke Pakistan pada 30 April 2021," kata Amna Baloch, pesuruhjaya tinggi Pakistan di Malaysia kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Dia juga mengesahkan syarikat itu akan menanggung kos penghantaran pulang jenazah ke Pakistan.

"Suruhanjaya Tinggi selalu memastikan kebajikan pekerjanya dan Pejabat Kebajikan Masyarakat menangani perkara-perkara seperti ini secara eksklusif," kata Baloch ketika ditanya apakah Kedutaan Pakistan akan membangkitkan perkara itu dengan kerajaan Malaysia.

Pada Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Shahzad ditemui mati di sebuah lokasi di Jalan Ampang pada 17 April, setelah membunuh diri.

Sebelum kematiannya, warga Pakistan berusia 30 tahun itu menyiarkan video di platform media sosial TikTok, di mana dia mendakwa majikannya gagal membayar gaji selama lima bulan.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata siasatan mendapati syarikat itu tidak membayar pekerja berkenaan dari Disember 2020 hingga April 2021 kerana masalah kewangan akibat perintah kawalan pergerakan.

Radha Krishnan, ketua pegawai eksekutif Landseal Sdn Bhd memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat itu akan menanggung kos untuk menghantar pulang jenazahnya ke Pakistan dan memberikan bayaran ihsan kepada keluarganya.

Jabatan Tenaga Kerja sedang menyiasat kes itu di bawah Akta Pekerjaan 1995. 

Seorang pegawai jabatan itu berkata siasatan kebiasaannya mengambil masa dalam tempoh seminggu.