Isu kompaun RM50,000: Timbalan menteri saran penguatkuasa guna budi bicara
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin mengulas kes peniaga burger dan juga penjual rojak ‘colek’ di Kelantan yang di kompaun sebanyak RM50,000 berikutan didakwa ingkar SOP.
Katanya, dia percaya proses rayuan pengurangan atau pembatalan kompaun tersebut telah berjalan.
"Pihak Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) sendiri telah meminta usahawan burger tersebut mengemukakan rayuan kompaun secepat mungkin kepada Jabatan Kesihatan...
"Saya cuma ingin menyentuh sedikit mengenai isu penguatkuasaan.
"Ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang perlu dizahirkan supaya masyarakat atau orang lain akan mengambil iktibar dan pengajaran atas perkara tersebut.
"Walau bagaimanapun, saya mengharapkan agar pihak penguatkuasa ketika melaksanakan tugas perlulah memahami sewajarnya undang-undang yang hendak dikuatkuasakan dan impak negatif yang akan berlaku bagi setiap tindakan yang diambil," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut Ermieyati, dalam kes peniaga burger, individu itu dikategorikan sebagai penjaja informal dan kompaun sebegini sudah pasti memberi kesan kepada perniagaan dan kehidupannya.
"Anggota penguatkuasa disarankan agar dapat menggunakan 'common sense' atau budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun yang sesuai dengan melihat faktor-faktor penyebab dan situasi semasa yang menyebabkan berlakunya pelanggaran SOP.
"Tambahan lagi, saya difahamkan yang kes ini, anggota penguatkuasa telah terkhilaf dalam mengeluarkan kompaun kesalahan syarikat yang melanggar SOP sebanyak RM50 ribu berbanding kesalahan individu dengan kompaun maksima RM10 ribu," katanya.
Jelasnya, jika peniaga itu diberi pengurangan kompaun sekalipun dia tidak dapat melunaskan jumlah tersebut apatah lagi jika kompaun maksima RM10 ribu dikenakan ke atasnya.
"Berniaga di kawasan kampung, hendak mendapatkan jualan RM100 sehari pun masih belum tentu.
"Jadi, perlu difahami bahawa peniaga burger bukanlah sebuah perusahaan bertaraf syarikat tetapi sekadar usahawan tidak formal yang hanya bertaraf perniagaan individu," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai