UPSR mansuh mulai tahun ini, PT3 2021 dibatalkan
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, kata Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Radzi turut memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.
Dia mengumumkan perkara itu menerusi sidang media khas di sini hari ini.
“Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan,” katanya.
Dia berkata dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Menjelas lanjut, Radzi berkata keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.
Radzi berkata antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.
Malah katanya, ada guru-guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain yang tiada peperiksaan khusus bagi membolehkan tumpuan diberi untuk murid-murid membuat persiapan UPSR, sekali gus mengurangkan ruang untuk guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah.
Ibu bapa pula, katanya, ada yang berkongsi bagaimana tumpuan kepada UPSR yang dianggap sebagai peperiksaan penting itu telah menyebabkan anak-anak mereka mendapat ruang terhad terhadap aspek lain dalam pendidikan memandangkan ada yang mula dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun 1.
Radzi berkata menerusi pertemuan dengan murid-murid, kebanyakan mereka melihat UPSR sebagai komponen untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), namun ketika PKSK dilaksanakan tahun lepas untuk kemasukan ke SBP atau sekolah khusus, hanya satu per empat daripada keseluruhan murid Tahun 6 2020 menduduki peperiksaan itu.
“Jadi kita lihat bahawa sekiranya diberi pilihan tidak semua murid yang ingin menduduki peperiksaan khusus untuk ke asrama penuh,” katanya sambil menambah murid juga menghadapi tekanan menghadiri pelbagai kelas selepas waktu sekolah.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul.
Mengenai PT3, dia menjelaskan asas utama dipertimbangkan untuk membatalkan peperiksaan itu tahun ini adalah setelah mengambil kira masa pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka di sekolah berikutan penularan Covid-19.
Sehubungan itu, dia berkata kaedah pentaksiran bagi peperiksaan itu untuk tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iatu menerusi PBS yang turut merangkumi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikokemterik (PPsi).
“PT3 dibatalkan tahun ini namun pentaksiran ini kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan ini berbeza dengan UPSR yang dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai