Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Vaksin untuk migran penting kekang wabak Covid-19

Di sebalik gesaan supaya kerajaan mengenakan bayaran atau meminggirkan mereka, pakar berkata kelompok golongan migran amat perlu mendapat akses yang sama kepada vaksin untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurut Presiden Mercy Malaysia Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, langkah kesihatan awam perlu dilaksanakan berdasarkan bukti saintifik dan bukan sentimen umum.

“Langkah kesihatan awam yang bijak perlu memastikan seramai mungkin diberi imunisasi….mendapat vaksin supaya kita boleh mencapai imuniti kelompok yang diharap boleh memberi kesan dan menyekat penularan wabak ini, ” katanya.

Malaysia mengumumkan pada Februari lepas, bukan warganegara, termasuk pekerja tanpa izin serta pelarian, layak untuk mendapat vaksin secara percuma. Langkah berkenaan untuk memastikan mereka menerima imunisasi, mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan.

Kerajaan juga memberi jaminan kepada rakyat negara ini bahawa mereka akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin dan kumpulan migran tanpa dokumen serta pelarian diberi imunisasi pada penghujung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Secara rasminya, terdapat tiga fasa Pick iaitu fasa pertama, membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk dalam fasa kedua. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan menerima vaksin di bawah fasa kedua.

Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula Mei hingga Februari tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.

Adham Baba

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengumumkan pada 26 April, seramai 504,165 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat 25 April 2021.

Dia menerusi akaun Twitternya berkata bagi tempoh sama, seramai 800,996 individu menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,305,161 dos setakat semalam.

Sentimen umum, kesihatan awam

Pejabat Antarabangsa Migrasi (IOM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan retorik terhadap pendatang asing di banyak negara sejak berlaku pandemik Covid-19. Malaysia tidak terkecuali.

Pelbagai komen yang bersetuju dan menentang tular di media sosial apabila kerajaan mengumumkan keputusan memberi vaksin percuma kepada migran.

Ramai yang tidak mahu wang bayaran cukai mereka digunakan untuk vaksin bagi bukan warganegara. Ramai juga yang bimbang bekalan vaksin untuk warganegara tidak akan mencukupi.

“Warga asing bekerja di semua sektor dan ada gaji. Kenapa perlu bagi percuma...Tanggung sendiri atau majikan (tanggung),” tulis Sandra Naranasamy di dalam Facebook.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, vaksin adalah percuma untuk menghapuskan kemungkinan timbul kekangan dalam kalangan majikan dan pekerja asing.

“Katalah kita minta mereka bayar atau majikan mereka bayar, itu mungkin kekangan bagi mereka. Mereka mungkin memilih untuk tidak mengambil vaksin kerana ia bukan diwajibkan," katanya dalam sidang akhbar pada bulan Januari lepas.

Inisiatif kerajaan itu mendapat pujian sektor perniagaan dan pertubuhan pekerja.

Reaksi sesetengan orang awam mengenai pengumuman kerajaan itu tidak memeranjatkan pegawai kesihatan awam serta pakar yang terpaksa ‘memerangi’ sentimen tersebut sejak awal tahun 2020.

Pegawai kesihatan awam kini memberi amaran bahawa pandangan antimigran boleh memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini. Dalam hal ini, sekiranya bukan warganegara berasa terancam untuk mengambil suntikan vaksin atau kerajaan berasa tertekan lalu membuat keputusan tidak memberi imuniasi kepada bukan warganegara, ia akan mengancam sasaran imunisasi kelompok.

Kesaksamaan untuk memaksimumkan imuniti

Imuniti kelompok, yang bermakna sejumlah orang dalam populasi mempunyai antibodi melawan penyakit dan menyukarkannya merebak serta menjangkiti orang lain, adalah cara terbaik untuk menamatkan pandemik, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pertubuhan kesihatan lain.

Cara paling berperikemanusiaan mendapat tahap perlindungan ini adalah menerusi vaksinasi.

“Jika kita serius tentang imuniti kelompok - kita maksudkan minimum 70 peratus daripada seluruh populasi - kemudian kita perlu mendapatkan seramai mungkin orang dewasa untuk diberi vaksin, ” kata pakar penyakit berjangkit dan anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Dr Christopher Lee.

Namun bukan semua orang boleh divaksin untuk Covid-19.

Di Malaysia, pada masa ini, vaksin hanya diluluskan untuk orang dewasa sahaja. Ini membuatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang merupakan lebih lapan juta daripada 32.7 juta penduduk Malaysia, tidak boleh diberi imunisasi. Sebagai tambahan, mereka yang mempunyai alahan teruk serta keadaan kesihatan lain, mungkin dikecualikan.

Menurut Dr Lee, ambang untuk memberi imunisasi kepada penduduk dewasa Malaysia perlu ditinggikan lagi.

“Masalah di sini adalah pekerja tanpa izin. Pada pandangan saya, mereka mungkin bimbang sekiranya mendaftar dan selepas divaksin, mereka mungkin diganggu atau ditangkap serta dihantar pulang ke negara asal. Kita maklum dengan keadaan mereka,” katanya.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, daripada 24.2 juta populasi dewasa Malaysia, sekitar tiga juta adalah bukan warganegara. IOM percaya terdapat tambahan dua hingga empat juta orang pendatang tanpa izin pada tahun 2019.

Setakat 31 Januari, 2021, terdapat kira-kira 178,710 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Ada yang mencadangkan bahawa Malaysia masih boleh mencapai imuniti kelompok tanpa memberi vaksin kepada bukan warganegara. Namun pakar kesihatan awam berkata keadaan ini tidak mungkin dicapai.

“Tidak ada sains, tidak ada kebijaksanaan untuk berkata kita hanya perlu memberi vaksin kepada sebahagian sahaja populasi dan membiarkan yang lain (yang berhak mendapat vaksin) dan berharap untuk mencapai imuniti kelompok, ” kata Dr Faizal.

Felo Pengajian Pengurusan di St Catherine’s College, University of Oxford, Dr Duncan Robertson membuat model, yang dipaparkannya di Twitter, untuk menunjukkan apa yang akan berlaku sekiranya populasi meminggirkan satu komuniti dalam pelan vaksinasi beramai-ramai mereka,

Dalam satu graf, seorang yang dijangkiti dalam komuniti yang tidak divaksin merebakkan penyakit kepada orang lain sehingga ia hampir menjangkiti beberapa orang tidak divaksin, seperti kanak-kanak, dalam populasi yang diberi imunisasi.

“Ini menunjukkan mengapa perlunya program imunisasi meliputi semua penduduk termasuk yang sukar dijangkau," katanya di Twitter.

Sekuriti tambahan

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), golongan migran berisiko dua kali ganda untuk dijangkiti Covid-19 dan menularkannya. Berdasarkan keadaan hidup mereka, mereka juga sukar dijejak untuk melakukan pengesanan kontak sekiranya berlaku wabak.

Golongan ini dllaporkan terlibat dalam beberapa majlis yang mencetuskan kluster besar. Sebagai contoh, Kluster Teratai, yang dikaitkan dengan pekerja asing kilang Top Glove. Kluster berkenaan merekod sebanyak 7,205 jangkitan dan mengambil masa lima bulan untuk ditamatkan.

Dr Christopher Lee

Menurut Dr Lee, memberi imunisasi kepada komuniti migran akan dapat menyelesaikan isu berkenaan dan memberi perlindungan kepada orang awam.

“Sekiranya anda mahu melindungi negara, setiap orang perlu divaksin. Itu yang terbaik, ” katanya.

Bagaimanapun, dia berpandangan, memasukkan migran dalam pelan vaksinasi tidak bermakna mereka akan datang untuk mengambil suntikan vaksin berkenaan.

“Bagi mereka vaksin percuma pun, mereka tak datang kerana takut ditangkap dan dihantar pulang,” katanya, sambil menambah kerajaan perlu menyusun strategi bagaimana mahu mengatasi cabaran ini.

Bagi menggalakkan golongan migran tampil mengambil suntikan, kerajaan dilaporkan menjanjikan mereka tidak akan ditangkap.

Pihak kerajaan juga berkata mereka merancang bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan antarabangsa, kedutaan dan pemimpin komuniti untuk mendampingi komuniti migran, meskipun maklumat terperinci mengenai perkara ini, belum diumumkan.

Menurut Dr Lee, usaha mendampingi golongan berkenaan perlu bermula segera bagi memenangi hati komuniti migran, di samping mendidik serta menyakinkan mereka akan kepentingan mengambil vaksin sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

“Kita semua berkongsi ruang. Virus ini bukan tahu anda migran ke, ada pasport ke atau anda tinggal di Taman Tun atau apa sahaja. Kalau virus itu ada peluang, virus itu akan merebak,” katanya.

-Bernama