JK Tamat Darurat: 12 pemimpin pembangkang dijangka menghadap Agong
Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bercadang membawa 12 pemimpin pembangkang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memperincikan desakan mereka berkaitan darurat.
Bagaimanapun menurut Pengerusinya Khalid Samad, nama 12 pemimpin yang akan bersama dalam rombongan tersebut masih belum diputuskan lagi.
“Bergantung pada jumlah yang ditetapkan istana. Kalau boleh kita nak dalam 12 orang supaya semua pemimpin pembangkang boleh turut bersama,”katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pemimpin pembangkang akan bertemu pada Khamis ini bagi membincangkan 12 pemimpin yang akan bersama nanti.
“Belum finalise. Khamis ni akan jumpa dan bincang siapa yang sanggup,12 itu sekadar cadangan kami,” katanya.
Pada masa sama, katanya Istana Negara masih belum menetapkan tarikh khusus untuk menghadap Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Pada 22 April lalu, sumber dari jawatankuasa berkenaan memberitahu Sultan Abdullah sudah memberi perkenan untuk menerima menghadap mereka.
Ini selepas Khalid menghantar surat kepada Istana Negara yang menyatakan Agong berkenaan membenarkan jawatankuasa terbabit menghadap agar mereka dapat menyerahkan memorandum berkaitan darurat.
Pada 12 Mac lalu jawatankuasa itu - yang dianggotai beberapa ahli politik dan aktivis - melancarkan kempen mengumpul tandatangan termasuk secara dalam talian bagi memohon agar darurat yang dikuatkuasakan sekarang ditamatkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai