Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebelum mereka berakhir di tepi jalan, rumah usang...

Sebuah pertubuhan kebajikan meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi tumpuan khusus kepada pesakit mental yang terpinggir dan mengharungi sisa kehidupan bersendirian.

Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan Indrani Selvakumar berkata golongan yang tidak mempunyai keluarga atau diabaikan keluarga wajar diberikan bantuan khas, jika tidak diterima di Rumah Seri Kenangan (RSK) atau Hospital Bahagia.

"Buat masa ini, kami berasa golongan ini tidak menerima 'bantuan' yang sewajarnya daripada kementerian.

"Pesakit mental ini sering terbiar hidup bersendirian di rumah usang atau di tepi jalan selepas tidak diterima di RSK ataupun Hospital Bahagia," katanya kepada Malaysiakini.

Indrani Selvakumar 

RSK ditubuhkan untuk menjaga dan melindungi warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

Berkongsi pengalaman peribadi, Indrani berkata pertubuhannya mengenal pasti beberapa kes berkaitan pesakit mental terpinggir di Sungai Siput, Perak.

"Secara amnya, kesemua kes dikendalikan oleh kami tidak mempunyai ahli keluarga terdekat menyebabkan mereka tinggal di tepi jalan ataupun rumah usang.

"Sebelum ini, mereka tidak diterima di RSK atas alasan mereka adalah pesakit mental. Sementara, Hospital Bahagia berkata bahawa pesakit-pesakit tidak terlalu agresif untuk dimasukkan ke hospital," katanya.

"Jadi, persoalannya, ke mana kita nak hantar golongan ini? tanya beliau.

"Ini yang kami tekankan bahawa kementerian perlu memberi 'bantuan' sewajarnya kepada golongan ini,” katanya.

Dia menambah kesemua kes dikendalikan olehnya telah selesai dengan batuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak selepas pesakit diterima ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

Sementara itu, Indrani berkata JKM tidak boleh hanya menunggu orang awam memberi maklumat untuk bertindak.

"Mereka sepatutnya turun padang untuk membantu.

"Perlu ingat, mereka adalah pesakit mental yang boleh sembuh dan diberikan kehidupan baru dengan perhatian sewajarnya," katanya.