Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis rakam keterangan guru, pelajar isu 'lawak rogol'

Pihak polis telah mengambil keterangan guru dan pelajar berhubung isu jenaka mengenai rogol yang didakwa dibuat di dalam kelas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, keterangan telah diambil semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kesemua saksi juga akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada Sabtu lalu, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, mendakwa kata-kata yang tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya yang terletak di daerah Kuala Selangor.

“Ia pada awalnya bagus, kita bercakap berhubung gangguan seksual, bagaimana nak menjaga diri dan maruah diri.

“Dia melakukan beberapa jenaka dan ia normal pada awalnya, namun kemudian jenaka itu bertukar aneh dah lucah.

“Kemudian kami bercakap tentang bagaimana undang-undang melindungi mereka yang bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual dan selepas itu dia kata ‘nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18',” dakwanya di media sosial.

Ayahnya, Saiful Nizam Abdul Wahab, turut membuat laporan polis.

Sementara itu, pemimpin PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji keberanian Ain yang mendedahkan kejadian terbabit.

Malah, Wan Azizah turut meluahkan rasa gusar, khususnya apabila Ain didakwa menerima ugutan rogol dari salah seorang rakan sekelasnya.

Melihat keadaan Ain yang masih bawah umur, anggota parlimen Pandan itu turut berkata, dia wajar dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).

“Peristiwa ini hanya menekankan bahawa parlimen perlu segera dibuka supaya Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual dapat segera dibentang dan digubal menjadi akta buat rujukan bagi kes-kes sebegini di masa akan datang,” kata bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ain mendakwa bahawa dia telah menerima ugutan rogol dari rakan sekelasnya yang tidak puas hati susulan pendedahan yang dilakukan.

Ayahnya juga berkata, akan melakukan laporan polis berasingan berhubung perkara tersebut.