Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mara siasat isu pemeriksaan haid di sekolah, kata bekas pelajar

Seorang bekas pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan dia dihubungi oleh pihak tersebut berhubung isu pemeriksaan haid di sekolah.

Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa dia turut membantah amalan yang dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu dan akan meneliti dakwaan terbabit.

Mara juga memantau beberapa sekolah berasrama penuh yang dikaitkan dengan dakwaan itu.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak di Pekan Pahang, Zakiah (bukan nama sebenar) berkata, dia telah dihubungi oleh pegawai Mara selepas membuat laporan berhubung dakwaan tersebut dalam laman webnya.

“Mereka berkata, telah menerima beberapa laporan berhubung sekolah saya mahu rakan-rakan beri lagi banyak nama dan luahkan pengalaman mereka.

“Mereka juga bertanya adakah saya dari MRSM Johor Bahru dan pegawai juga kedengaran mengambil berat. Saya rasa sebelum ini mereka tidak tahu selepas laporan dibuat.

“Mereka ada juga berkata akan menyiasat perkara tersebut,” kata Zakiah kepada Malaysiakini.

Dia turut menceritakan pengalamannya ketika berada di sekolah berasrama penuh.

“Saya sendiri pernah mengalami pemeriksaan haid di sekolah, gangguan fizikal (tamparan), memaki hamun, dihina secara awam dari warden dan guru.

“Kebanyakan (melibatkan) perempuan, meskipun terdapat segelintir lelaki,” luahnya.

Dia turut menceritakan masalah yang menimpa dirinya kerana enggan memakai sarung lengan ketika berada di tingkatan satu.

Tekanan didakwa lebih berat ketika dia berumur 15 tahun - tingkatan 3.

“Terdapat ustazah yang merupakan salah seorang warden di hostel perempuan. Sudah jadi kewajipan untuk memeriksa semua perempuan Islam yang tidak solat sama ada betul-betul haid atau tidak.

“Ia menjadi amalan, tiada yang mempersoalkan, tidak guru mahupun pengawas.

“Jadi ya, terdapat beberapa kali saya terpaksa ambil tisu dan lap darah haid dari pad saya untuk tunjukkan kepadanya atau pengawas (kadangkala mereka suruh tunjuk pad terus).

Pelajar perempuan di beberapa buah sekolah yang bercakap dengan Malaysiakini baru-baru ini berkata perbuatan itu termasuk menunjukkan tuala wanita yang mempunyai darah, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, kertas tisu atau jari.

Mereka juga mendakwa guru, warden atau pengawas sekolah meraba di pangkal paha untuk memastikan mereka memakai tuala wanita.

Diraba guru, dimalukan

Zakiah turut menceritakan pengalamannya yang lambat ke kelas kerana mengalami senggugut teruk namun tidak dipercayai guru matematiknya.

“Dia raba saya di belakang kelas untuk pastikan saya pakai pad.

“Meskipun selepas itu, satu lagi guru matematik yang tidak puas hati dengan alasan saya dan anggap saya tak haid (walaupun pakai pad) kemudian tampar dan perkecilkan saya dalam kelas itu.

“Saya kemudian berasa malu dan kembali ke bilik hostel, saya menangis,” luah Zakiah yang kini berusia awal 20-an.

Ketika itu, katanya tiada yang menganggap apa yang berlaku sebagai salah.

“Kita tidak pernah diajar pendidik mengenai hak dan maruah,” katanya.

Jelasnya, pengalaman paling teruk dialami ketika di surau.

“Mereka yang datang lewat dan tidak solat berjemaah di surau, dikehendaki berdiri di barisan antara saf wanita dan lelaki dan ustaz akan memalukan kita, meminta semua melihat kami dan pastikan kami berasa malu dan tidak berbuat demikian lagi.

“Kami akan berdiri sehingga selepas solat Maghrib dan sebelum Isyak dan saya berasa sangat malu.

“Ia adalah taktik untuk memperkecilkan namun ini bukan hanya sekali, ia berlaku tiap-tiap malam.

“Perlahan-lahan, sebilangan besar pelajar akan mengasingkan diri (enggan berkawan dengan) pelajar yang turun lewat / tidak menunaikan solat berjemaah,” katanya.

Meskipun mempunyai rakan karib, Zakiah berasa dia sangat terasing dan tiada siapa ingin mempertahannya.

“Saya rasa tiada siapa yang faham betapa hipokritnya warden di sini. Mengajar keindahan agama tetapi, menjerit kafir dan membuatkan kita mengkritik agama lain.

“Terdapat perbezaan antara mengawal seseorang dan mahukan mereka untuk beriman,” katanya.

Tekad untuk lantang

Meskipun terdapat pihak yang kekal berdiam diri, Zakiah bertekad untuk bersuara lantang, membantah hal terbabit.

“Maka dengan itu saya ingin melakukan kesedaran awam. Saya tahu ada antara mereka tidak tahu mana nak mula setelah mengalami trauma dan saya ingin pastikan kita bukan bersendirian di sini dan perlu bersama-sama hentikan mimpi ngeri ini.

“Amat menyedihkan kerana terdapat lagi beberapa cerita yang belum diluahkan dari mangsa yang enggan bersuara lantang kerana masih trauma.

“Amalan itu harus dihentikan, dan berharap mereka yang menjadi mangsa juga kekal semangat,” katanya lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi MRSM Tun Abdul Razak, Mara dan Azizah namun masih belum mendapat respons lanjut.

Pelbagai pihak mengutuk amalan itu di sekolah termasuk bekas menteri Rafidah Aziz, Azalina Othman Said dan Maszlee Malik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Rina Harun juga berjanji siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya, berkata dia masih belum menerima maklumat mengenai perkara itu.

Malaysiakini juga sudah berulang kali berusaha menghubungi Menteri Pendidikan Radzi Jidin untuk mendapatkan komennya.

[Baca berita asal]