Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sindiket edar ganja dari Thai ke Indonesia tumpas

Empat individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kelantan membabitkan di dua lokasi di Kota Bharu pada 20 April lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Razarudin Husain berkata, mereka ditangkap kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Johor.

Hasil serbuan itu juga katanya sejumlah 394 kilogram (kg) dadah jenis ganja dengan anggaran nilai RM982,500 turut dirampas.

Menurut Razarudin, dalam operasi khas itu pihaknya percaya mereka berjaya mematahkan sindiket yang bergiat aktif di Johor dan menyeludup ganja ke Indonesia.

"Bekalan dadah ini dibawa masuk dari selatan Thailand melalui pangkalan haram di Kelantan sebelum dibawa ke Johor.

"Serbuan berjaya dilakukan di sebuah rumah taman dan berhampiran sebuah hotel sekitar Kota Bharu.

"Pemeriksaan mendapati kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Razarudin berkata, suspek berasal dari Kuala Lumpur itu berusia antara 31 hingga 50 tahun dan kini direman selama tujuh hari sehingga 27 April.

Selain itu katanya, pihak polis turut menyita masing-masing sebuah kereta dan lori serta barangan kemas bernilai RM146,000.

"Pihak polis dan JSJN juga akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk di bawa ke muka keadilan," katanya.

Sementara itu dalam serbuan berasingan polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam di sebuah rumah di Tanah Merah sekitar jam 9.30 pagi semalam.

Razarudin berkata, dalam serbuan itu pihak polis berjaya merampas 100kg syabu bernilai RM3.6 juta.

"Risikan dilakukan sebelum serbuan dibuat dan menjumpai 100 bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang disorok di bawah lantai kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

"Dalam serbuan ini, polis turut menyita dua kereta dan tiga motosikal bernilai RM53,000. Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 39 tahun dan direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.