Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua sekolah di Kelantan diarah tutup hingga 1 Mei

Semua sekolah di Kelantan diarahkan ditutup sehingga 1 Mei susulan peningkatan kes Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi melalui dua notis pemakluman berasingan semalam dan malam ini.

Dalam pemakluman semalam katanya, penutupan sekolah itu membabitkan tujuh daerah sahaja.

Bagaimanapun dalam pemberitahuan malam tadi, JPN memaklumkan sekolah di tiga daerah lagi iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli turut ditutup sehingga 1 Mei.

"Penutupan ini kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mengambil kira situasi semasa.

"Semua pelajar yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama," katanya.

Jelasnya lagi, penutupan sekolah membabitkan tiga daerah itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Khas) Negeri Kelantan- Penguatkuasaan Covid-19, semalam.

"Semua guru diminta untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah.

"Semua pegawai pendidikan daerah hendaklah terus membuat pemantauan kesemua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," kata Zulkernai.

Terdahulu sekolah di Kelantan ditutup bermula 18 hingga 22 April lalu membabitkan tujuh daerah susulan penguatkuasaan PKP di negeri itu.