Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Puad mahu MT Umno desak k'jaan panggil sidang parlimen

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata dia akan meminta parti itu membuat ketetapan untuk mendesak kerajaan memanggil sidang parlimen.

Jelasnya, dia akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat MT Umno yang akan dipengerusikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi esok.

"Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat MT Umno esok untuk meminta parti supaya mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen.

"Kita mahu MT membuat satu ketetapan bagi mendesak sidang Parlimen diadakan. Ini penting supaya wujud ketelusan soal pentadbiran dan kewangan.

"Ia penting untuk menyakinkan pelabur dan sekali gus kembali merancakkan ekonomi negara," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Parlimen digantung selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pengisytiharan darurat ekoran pandemik Covid-19.

Proklamasi darurat akan berlangsung sehingga Ogos tahun ini.

Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Pemimpin pembangkang dan pemimpin Umno turut mendesak kerajaan supaya memanggil sidang parlimen memandangkan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata tiada alasan untuk kerajaan tidak memanggil sidang parlimen memandangkan sektor ekonomi kini kembali rancak.

Katanya, kerajaan perlu mengadakan sidang parlimen bagi memastikan integriti institusi itu diyakini dan dihormati negara asing.

"Bahkan ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan sidang parlimen diadakan ketika darurat.

"Kalau sekolah boleh beroperasi, pasar malam beroperasi, bazar Ramadan pun sama, kenapa tidak dengan parlimen," katanya.