Fahmi Reza bebas dengan jaminan polis
Aktivis Fahmi Reza dibebaskan dari tahanan polis setelah ditahan semalaman dan memberikan keterangan berhubung siasatan atas tuduhan hasutan.
Ketika dihubungi, peguam Fahmi, Yohendra Nadarajan mengesahkan pembebasan anak guamnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 5.50 petang tadi.
"Fahmi dibebaskan dengan jaminan polis.
"Dia telah merekodkan keterangan sekitar tengah hari hingga sekitar jam 3 petang hari ini," katanya kepada Malaysiakini.
Di Facebook, Fahmi berkongsi gambar dirinya berdiri di luar balai polis berkenaan dengan menunjukkan isyarat tiga jari yang dikaitkan dengan demontrasi di Thailand baru-baru ini.
Pereka grafik itu disoal siasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Polis telah memohon perintah tahanan reman selama empat hari semasa pendengaran pagi ini tetapi Majistret Nitya Ravindran hanya membenarkan reman selama satu hari yang berakhir petang tadi.
Fahmi ditahan malam tadi berhubung senarai lagu Spotify bertema 'cemburu' yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Berdasarkan pautan yang diberikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed lewat malam tadi, senarai 'playlist' itu pada awalnya memaparkan potret baginda Permaisuri Agong bersama dengan kata-kata “This is Dengki Ke?”
Senarai lagu itu menampilkan 101 lagu Inggeris dan Melayu daripada pelbagai artis yang hampir semuanya bertemakan cemburu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai