Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KKMM tak campur siasatan polis terhadap Fahmi Reza

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak akan mencampuri siasatan terhadap aktivis Fahmi Reza sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan polis melakukan siasatan itu, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata siasatan dibuat ekoran terdapat laporan polis berhubung hantaran aktivis itu di media sosial yang didakwa melibatkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, Saifuddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional sentiasa menyokong dan menegakkan kebebasan media termasuk di media sosial, namun pada masa sama terdapat undang-undang sedia ada yang mengawal perkara tertentu seperti penyebaran berita palsu dan hasutan.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bila posting di media sosial kerana ada masanya perkara yang kita muat naik tidak salah pada kita, namun ia mungkin sensitif dari segi budaya, agama dan sebagainya.

"Ramai juga dalam kalangan pengguna media sosial yang menggunakan bahasa tidak sesuai seperti bahasa lucah atau maki hamun, tapi kalau ia masih bersifat umum dan tidak kena pada orang tertentu itu terserah kebebasan masing-masing dan pembaca atau follower (pengikut) menilai sendiri.

"Tetapi bila ia sampai kepada soal agama, kaum dan Raja-raja Melayu, yang ini kita monitor (pantau) dengan ketat," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Ahli Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kuantan hari ini.

Majoriti pengguna media sosial di Malaysia juga, menurut Saifuddin 'cukup baik dan beretika' dalam memuat naik maklumat berkaitan keluarga, rakan-rakan, pengumuman yang hendak dilakukan atau memberikan pendapat tentang sesuatu isu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berharap masyarakat dapat menjaga etika semasa menggunakan media sosial terutamanya ketika Ramadan supaya kemashalatan umat, penyatuan ummah, kerukunan ibadat dan ketenangan pada bulan mulia ini terpelihara.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Fahmi Reza direman sehari selepas ditahan di ibu kota semalam, berhubung hantaran berkaitan Tunku Azizah.

Siasatan terhadap aktivis itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama