Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perkeso perjelas KPI untuk kakitangan kongsi hantaran akaun ketua eksekutif

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempertahankan memo yang dikeluarkan oleh ketua eksekutifnya berkenaan para kakitangan yang mengongsikan hantaran Facebooknya akan mendapat markah dalam penilaian indeks prestasi utama (KPI).

Dalam kenyataan semalam, Perkeso berkata ia bertujuan untuk mempelbagaikan cara perkongsian maklumat pertubuhan itu yang tepat, jelas dan sahih secara lebih pantas dan berkesan.

"Dalam mendepani pandemik Covid-19 serta impaknya, Perkeso diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk melaksanakan beberapa insentif bantuan penting kepada orang ramai, terutamanya kepada golongan majikan dan pekerja, bagi membantu mereka menangani kesan yang dibawa oleh pandemik ini.

"Justeru, bagi memastikan maklumat berhubung pelbagai insentif ini dapat disampaikan kepada orang ramai dengan cepat dan berkesan, beberapa pendekatan baru melalui media sosial, di samping media cetak dan elektronik, telah diperkenal dan dilaksanakan," kata pertubuhan itu.

Perkeso merujuk artikel portal berita Free Malaysia Today berhubung perkara itu  semalam.

Menurut laporan itu, bermula 1 Mac, penilaian prestasi warga Perkeso memperuntukan markah khusus berdasarkan jumlah perkongsian pautan dari Facebook Ketua Eksekutif pertubuhan itu, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Perkara itu disampaikan menerusi memo yang ditandatangani Azman dan dihantar kepada seluruh kakitangan Perkeso dan diperolehi oleh portal terbabit.

“Jawatankuasa Pengurusan Perkeso telah menetapkan bahawa perkongsian maklumat rasmi Perkeso melalui platform media sosial Ketua Eksekutif adalah terhad kepada medium Facebook sahaja,” menurut memo itu tiga halaman itu.

Menurut memo itu, lima markah diberikan kepada kakitangan yang berkongsi maklumat dari akaun rasmi Facebook Azman sebanyak melebihi 50 kali dalam setahun. Satu markah pula diberikan kepad kakitangan yang berkongsi tidak lebih lima kali setahun.

Mengulas lanjut, Perkeso berkata anggotanya adalah tunggak kepada organisasi dan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab berkongsi maklumat pertubuhan melalui akaun rasmi ketua eksekutifnya.

Perkeso juga memaklumkan akaun media sosial ketua eksekutifnya dimiliki dan diselia sepenuhnya oleh pertubuhan itu sendiri dan kandungan akaun tersebut hanyalah maklumat dan kegiatan rasmi yang dilaksanakan mereka.

Awal minggu ini, arahan serupa dilaporkan telah diberikan kepada kakitangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dengan mereka diarahkan agar 'like' dan kongsi akaun media sosial menteri, timbalan menteri dan ketua setiausahanya.

Susulan itu, kementerian tersebut mengeluarkan kenyataan untuk menafikan arahan tersebut dibuat oleh menterinya, Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun ia tidak menyatakan jika arahan itu dikeluarkan oleh mana-mana pegawai kementerian yang lain.