Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Fahmi Reza kena reman sehari

Aktivis artis Fahmi Reza direman selama satu hari atas tuduhan hasutan dan dijangka dibebaskan lewat petang ini, menurut peguamnya.

Polis, semasa perbicaraan reman di balai polis daerah Dang Wangi di mana Fahmi ditahan semalaman, telah memohon kepada majistret reman selama empat hari.

Pun begitu, Majistret Nitya Ravindran hanya membenarkan reman selama sehari sahaja, kata peguam Rajsurian Pillai.

"Ada tiga alasan yang diberikan oleh polis: untuk mengambil gambarnya, cap jari dan rakaman pernyataannya.

"Kami berpendapat bahawa semua itu dapat dilakukan dalam beberapa jam. Setelah mendengarkan hujah tersebut, majistret yang arif memutuskan untuk memberikan reman satu hari," kata Rajsurian yang menemani peguam Yohendra Nadarajan.

Rajsurian berkata, Fahmi akan membuat pernyataannya dirakam pada tengah hari ini oleh pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dari unit jenayah rahsia Bukit Aman.

"Kami optimis dia akan dibebaskan dengan jaminan polis ... selewat-lewatnya jam 5 atau 6 petang hari ini," tambahnya.

Terdahulu, sekumpulan kira-kira 20 orang berkumpul di luar balai polis daerah Dang Wangi pagi ini sebagai tanda setia kawan dengan aktivis artis Fahmi Reza yang ditahan kerana didakwa menghasut.

"Untuk semua yang berhimpun di sini, jaga penjarakan sosial kerana jika tidak, polis berkata pihaknya akan mengeluarkan kompaun," kata aktivis Khalid Ismath ketika berucap kepada hadirin di seberang jalan dari balai polis di ibu negara itu.

Dia juga berkata beberapa aktivis yang hadir hari ini juga pernah berkumpul di tempat yang sama pada sembilan tahun yang lalu ketika Fahmi ditahan untuk siasatan kes hasutan berasingan.

Kumpulan hari ini menuntut Fahmi segera dibebaskan. 

Mereka juga membawa plakad dengan tandatangan bantahan penggunaan Akta Hasutan.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang turut hadir pula mengimbas kembali insiden pada 2004, ketika dia ditangkap bersama-sama Fahmi dan dibawa ke penjara Pudu berhubung himpunan aman membantah salah laku polis.

Fahmi ditahan malam tadi kerana senarai lagu Spotify bertema "dengki ke" yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berdasarkan pautan yang diberikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed lewat malam tadi, senarai 'playlist' itu pada awalnya memaparkan potret baginda Permaisuri Agong bersama dengan kata-kata “This is Dengki Ke?”

Senarai lagu itu menampilkan 101 lagu Inggeris dan Melayu daripada pelbagai artis yang hampir semuanya bertemakan cemburu. 

Bukit Aman memaklumkan kes Fahmi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.