Polis akan mohon majistret tahan reman Fahmi hari ini
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan terhadap pemilik akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata suspek akan dibawa ke hadapan Majistret hari ini untuk tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut.
“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetus suasana tidak harmoni serta mengganggu-gugat ketenteraman awam,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Semalam, aktivis Fahmi Reza ditahan polis berikutan hantaran yang dibuatnya di media sosial melibatkan Tunku Azizah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai