Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NGO hak asasi manusia desak bebas Fahmi tanpa syarat

Beberapa pertubuhan sivil menggesa polis membebaskan serta-merta aktivis dan pereka bentuk bebas, Fahmi Reza, yang ditahan awal malam ini.

Kata mereka menghasilkan bahan berbentuk satira bukanlah suatu jenayah.

Gesaan itu hadir hanya beberapa ketika selepas Fahmi ditangkap untuk disiasat atas kesalahan menghasut dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dipercayai penahanan berkenaan ada kaitan dengan laporan polis yang dibuat pelbagai pihak atas reka cipta Fahmi berhubung isu #DengkiKe yang dikaitkan dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), karya berbentuk satira dilindungi Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu hak kebebasan bersuara.

"Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya melemahkan hak kebebasan itu," kata CIJ melalui ciapan di Twitter.

Kumpulan pemantau hak asasi manusia Amnesty International Malaysia pula menggesa Fahmi dibebaskan segera tanpa syarat.

"Berkali-kali undang-undang drakonian Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia dijadikan alat pihak berkuasa untuk menutup mulut pengkritik dan pihak yang tidak sependapat dengan mereka.

"Amalan ini mesti dihentikan," katanya.

Satu lagi pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, berkongsi poster menggesa pembebasan Fahmi di media sosial mereka.

Poster itu memaparkan slogan "Satira politik bukan jenayah."

Fahmi ditahan di rumahnya kira-kira jam 7 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat.

Dia dijangka dibawa ke hadapan majistret untuk membolehkan polis mendapat kebenaran menahan reman. Sehingga waktu itu Fahmi akan menghabiskan malamnya dalam lokap IPD berkenaan.