Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tinjauan: Belia lebih optimis, setuju dengan k'jaan, PM

Golongan belia lebih optimis terhadap hala tuju negara dan bersetuju dengan pentadbiran kerajaan Muhyiddin Yassin berbanding kumpulan umur yang lain.

Berdasarkan tinjauan terbaru Merdeka Center, majoriti (53 peratus) responden dari golongan belia (21-30 tahun) percaya negara ini menuju "arah yang betul" berbanding kelompok usia lain yang tidak melebihi 50 peratus.

Golongan belia juga lebih cenderung, dibandingkan dengan kelompok usia yang lain, untuk berpuas hati dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19, membantu mereka yang memerlukan, memiliki visi yang jelas untuk memulihkan negara, dan menguruskan ekonomi.

Sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan adalah yang terendah di antara mereka yang berada dalam lingkungan usia 51-60 tahun.

Selain golongan belia, mereka yang bekerja sama ada dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, dari pantai timur Semenanjung Malaysia, dan kumpulan berpendapatan rendah (di bawah pendapatan RM2,000 sebulan) juga lebih cenderung menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Tinjauan dilakukan oleh Merdeka Center antara 31 Mac dan 12 April, melibatkan 2,111 responden yang terdiri daripada 64 peratus kaum Melayu, 28 peratus kaum Cina dan lapan peratus kaum India.

Tinjauan dilakukan melalui talian tetap dan telefon bimbit dengan responden dipilih melalui pensampelan berstrata secara rawak untuk menggambarkan usia, kaum, jantina, dan kawasan pilihan raya. Tinjauan ini dibiayai sendiri oleh Merdeka Center.

Secara keseluruhan, majoriti responden yang terdiri daripada pelbagai etnik, kecuali kaum Cina, berpuas hati terhadap prestasi kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19 pada 70 peratus, meningkat daripada 53 peratus pada bulan Januari.

Sebilangan besar responden (74 peratus) juga setuju ketika ditanya adakah kerajaan telah membantu mereka yang memerlukan.

Dari segi apakah kerajaan mempunyai "visi yang jelas" untuk "memulihkan negara", 56 peratus setuju. Bagaimanapun, pendapat responden Melayu dan Cina adalah sangat bercanggah.

Walaupun 74 peratus responden Melayu setuju, hanya 18 peratus responden Cina berpendapat yang sama.

Sementara itu, 51 peratus responden menyatakan rasa puas hati terhadap usaha kerajaan menangani ekonomi - turun dari 65 peratus pada Mei tahun lalu ketika pakej rangsangan pertama - yang merangkumi moratorium pinjaman - diumumkan.

Ketika soalan ini ditanya pada bulan Januari - sebulan setelah Belanjawan 2021 diluluskan - hanya 45 peratus responden menyatakan rasa puas hati.