Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bazar Aidilfitri dibenar beroperasi hingga jam 2 pagi

Mulai esok bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 pagi berbanding 12 tengah malam sebelum ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata lanjutan tempoh operasi itu dibenarkan selepas mendengar rayuan daripada penjaja bazar.

"Kita dimaklumkan pengunjung mula keluar selepas solat isyak dan tarawih (jadi) apabila kita benarkan mereka beroperasi setakat pukul 12 tengah malam waktu berniaga terlalu pendek," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan perintah kawalan pergerakan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata ia sedang diperhalusi dan akan diumumkan minggu hadapan setelah mendengar pembentangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan SOP perayaan itu termasuk solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya dari rumah ke rumah.

Mengenai sesi persekolahan, beliau berkata sebarang keputusan perlu melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang tindakan termasuk penutupan sementara sekolah dibuat.

“Saya berharap kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan sendiri berhubung penutupan atau pembukaan sekolah kerana ia berada di bawah bidang kuasa KPM, walaupun kita faham (terdapat) kebimbangan daripada ibu bapa.

“Keputusan sekolah ditutup atau buka adalah keputusan KPM setelah berbincang dengan KKM.

"KKM akan memberi pandangan kepada KPM berdasarkan penilaian risiko,” katanya.

- Bernama