Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Langgar SOP: Masjid wajar dapat pertimbangan sebelum didenda - Asri

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat bahawa pihak masjid wajar mendapat pertimbangan sebelum didenda atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Membandingkannya dengan dakwaan pelanggaran SOP oleh beberapa individu dikenali, Mohd Asri berkata masjid secara umumnya antara tempat yang paling mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Jika kita ke masjid, kita akan dapati secara umumnya masjidlah tempat yang paling mematuhi SOP dibandingkan tempat-tempat lain.

"Berita VIP atau menteri langgar SOP biasa kita dengar. Bila masyarakat bising maka dilaporkan kertas siasatan dibuka. Kemudian kita sudah tidak dengar lagi berita seterusnya.

"Saya rasa pihak masjid lebih wajar mendapat pertimbangan yang sepatutnya sebelum didenda," katanya di Facebook hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah masjid di Pekan, Pahang yang dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal patuhi SOP.

Menurut Sinar Harian pada 21 April, Masjid Sri Maulana di daerah itu dikenakan kompaun tersebut kerana tidak menyediakan pengimbas kod bar MySejahtera dan buku pendaftaran.

Sehari sebelum laporan itu, notis kompaun tersebut yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan tular di media sosial sebelum disahkan oleh Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.

Jika kita ke masjid, kita akan dapati secara umumnya masjidlah tempat yang paling mematuhi SOP dibandingkan...

Posted by Drmaza on Khamis, 22 April 2021