Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NUTP: Guru jadi kontak rapat kes Covid-19 perlu diberi cuti kuarantin

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan agar memberi cuti kuarantin kepada guru yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19, tanpa perlu menunggu surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, ini kerana surat tersebut memakan masa lama dan kuota cuti rehat khas (CRK) yang diperuntukkan kepada guru pula tidak mencukupi.

"Semua sedia maklum, kes penularan virus Covid-19 telah meningkat di negara kita dan semakin ramai individu yang telah dijangkiti wabak ini menyebabkan proses untuk mendapatkan surat kuarantin daripada PKD mengambil masa yang lama.

"Sedangkan kuota Cuti Rehat Khas (CRK] yang diperuntukkan untuk guru-guru adalah tidak mencukupi.

"Keadaan ini menyebabkan guru-guru yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 tiada pilihan lain selain perlu hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Apa yang paling membimbangkan, katanya lagi, wabak Covid-19 mungkin menular lebih meluas di kalangan warga sekolah dan mendedahkan murid yang kurang daya tahan kepada risiko.

Justeru, Tan berkata NUTP berharap Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin dapat mengkaji perkara ini dan merumuskan jalan terbaik untuk membantu guru yang terkesan.

"Guru yang diberi cuti kuarantin boleh menjalankan PdPR secara 'offline' serprti membuat rakaman pengajaran dan anak murid juga boeh meneruskan pembelajaran apabila berada di rumah," katanya lagi.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 26 kluster melibatkan sekolah menengah, sekolah rendah dan pusat tahfiz serta madrasah dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

Terdapat juga gesaan agar sesi persekolahan ditutup buat sementara waktu selepas mengambil kira peningkatan jumlah kes positif di sekolah.