Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Pemeriksaan haid musnahkan pengalaman zaman sekolah saya'

Dua puluh tahun selepas dia meninggalkan sekolah, Zalina (bukan nama sebenar) masih tidak dapat melupakan trauma daripada pemeriksaan haid terhadapnya, yang didakwanya telah merosakkan pengalaman zaman persekolahannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, wanita berusia 36 tahun itu berkata pengalaman itu telah menghantui dirinya sehingga dia takut untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat.

Zalina yang belajar di sebuah sekolah menengah perempuan di utara tanah air berkata, sekolahnya mewajibkan pelajar menyertai sembahyang pada setiap hari Jumaat.

"Ketika saya di Tingkatan 4, mereka mula melakukan pemeriksaan bagi mereka yang mengaku datang haid," katanya yang enggan nama sebenarnya disiarkan.

Katanya, para pelajar diminta untuk berbaris dekat tandas dan ustazah akan berdiri di belakang mereka dan meraba untuk memastikan sama ada mereka memang memakai tuala wanita atau tidak.

Sekiranya ustazah itu tidak dapat memastikan tuala wanita melalui sentuhan, Zalina berkata dia akan meminta pelajar menunjukkan sendiri tuala wanita dengan kesan darah.

Menurut Zalina lagi, sejak tingkatan satu dia telah menerima sindiran dan dipinggirkan kerana tidak mahu memakai baju kurung, jadi dia memutuskan untuk tidak menentang pemeriksaan yang dibuat. Dia juga berasa menjadi sasaran kerana ada kala tidak memakai tudung.

"Ustazah kata kepada saya bahawa (dengan melihat) cara saya - saya akhirnya akan jadi perempuan yang tidak baik sebaik sahaja tamat persekolahan, dan mereka layan saya seperti sebahagian daripada 'gadis-gadis rosak'.

Zalina juga berkata dia masih ingat bagaimana seorang pelajar hampir menangis selepas melihat baju kurungnya terkena darah setelah menunjukkan tuala wanitanya kepada ustazah.

"Dia terpaksa pulang dan ustazah tak minta maaf pun kepadanya," katanya lagi.

"Ibu saya marah tentang hal ini, tetapi saya minta agar dia tak ke sekolah (dan jumpa guru), kerana bimbang saya akan didenda kemudian," katanya, sambil berkata tiada sesiapa yang berani membuat laporan terhadap guru tersebut.

"Ini tragik, Jika saya dapat undur masa dan muda sekali lagi, saya tak akan pilih untuk kembali ke usia 13 hingg 17 tahun. Saya tak ada anak, tapi jika saya ada anak perempuan di mas depan, saya tak mahu dia alami perkara sama," katanya lagi.

Tokoh suarakan bantahan

Jelasnya, laporan Malaysiakini tentang pemeriksaan haid mengembalikannya kepada ingatan yang tidak menyenangkan ini, dan dia berasa terpanggil untuk berkongsi kisahnya, agar amalan seperti itu tidak lagi diteruskan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan di banyak sekolah, "pemeriksaan haid" dilakukan terhadap pelajar perempuan, lazimnya untuk memastikan mereka tidak perlu menyertai sembahyang jemaah.

Mereka diarahkan untuk membuktikan secara fizikal yang mereka benar-benar datang bulan - menerusi kaedah yang mencabuli privasi mereka.

Antara kaedah pemeriksaan termasuk menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari, atau dengan guru, warden atau pengawas menyentuh mereka untuk memastikan memang ada tuala wanita.

Perkara ini diceritakan oleh mereka yang masih dalam persekolahan dan yang telah meninggalkannya lebih 20 tahun lalu.

Wan Salim Wan Mohd Noor

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan amalan sedemikian tidak wajar kerana setiap orang mempunyai maruah yang wajib dihormati, termasuk hak menutup bahagian sulit daripada dilihat oleh orang lain.

Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.

"Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid)," katanya.

Bekas menteri Rafidah Aziz dan Azalina Othman juga menyuarakan penentangan mereka terhadap amalan tersebut, dengan Rafidah menuntut Kementerian Pendidikan menghentikannya dan menetapkan peraturan asas yang jelas mengenainya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata dia masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu dan justeru tidak dapat memberi ulasan lanjut.