Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anak Taib ambil cuti berikutan tuduhan konflik kepentingan

Mahmud Abu Bekir Taib - anak Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan bekas ketua menteri Abdul Taib Mahmud - mengambil cuti dari jawatannya di Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) dan anak syarikatnya berikutan tuduhan konflik kepentingan terhadap dirinya.

Dalam satu kenyataan hari ini, lembaga pengarah syarikat itu berkata ini berdasarkan maklumat yang diterima melalui saluran pemberi maklumat kumpulan yang melibatkan Taib dan ketua pegawai maklumat kumpulan Karl Vink @ Khalid Abdullah.

“Setelah menerima aduan pemberi maklumat, sebelum melaporkan kepada pihak berwajib, lembaga bertindak segera untuk melakukan siasatan penuh bagi melaksanakan tugas fidusiari untuk melindungi kepentingan terbaik syarikat dan semua pihak yang berkepentingan.

"Untuk memudahkan penyiasatan penuh dan telus oleh pihak berkuasa, Mahmud Abu Bekir Taib secara sukarela telah mengambil cuti dari semua jawatannya dalam kumpulan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia tidak menjelaskan konflik kepentingan yang melibatkan Bekir dan Karl Vink.

Bekir memegang jawatan pengarah di CMS, CMS I-Systems Sdn Bhd, dan CMS Capital Sdn Bhd.

Dia juga merupakan timbalan pengerusi kumpulan CMS, pengerusi jawatankuasa transformasi digital CMS dan ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan.

Dalam kenyataan berasingan, Bekir berkata keputusan untuk mengambil cuti adalah demi kepentingan CMS dan semua pihak yang berkepentingan.

"Saya sangat yakin ini adalah tindakan yang tepat untuk dilakukan kerana melangkah ke luar akan membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya dan telus terhadap tuduhan tersebut.

"Dari pihak saya, saya berjanji untuk berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib agar siasatan dapat dibuat dengan cepat dan CMS terus melangkah maju. Saya tidak sabar untuk pulang dari bercuti, ”katanya.