Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SPRM N Sembilan siasat isu penyelewengan konsesi balak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan membuka kertas siasatan berhubung isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak yang diberikan kepada Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Pengarahnya Mohamad Zakkuan Talib berkata siasatan awal mendapati konsesi balak itu diberikan kepada YNS bermula sejak 2014 dengan kuota sebanyak 2,500 hektar setiap tahun.

“SPRM Negeri Sembilan bukan sahaja menyiasat isu konsesi balak di kawasan Lenggeng namun, turut menyiasat keseluruhan kawasan konsesi balak melibatkan Yayasan Negeri Sembilan sejak 2014 lagi.

“Malah, siasatan berhubung perkara ini masih berjalan ,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Justeru, katanya, SPRM negeri menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara tersebut.

Pada 16 April lepas, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan Negeri Sembilan akan memberi kerjasama kepada SPRM selain tidak akan berkompromi dalam hal tersebut.

- Bernama