PKRC khas untuk pelajar positif Covid-19 di Kelantan
Satu pusat kuarantin dan rawatan Covid- 19 (PKRC) khas akan diwujudkan untuk menempatkan pelajar sekolah yang positif di seluruh negeri, kata Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, ia merupakan PKRC ketujuh yang akan beroperasi bermula hari ini atau selewat- lewatnya esok.
"Kita sudah berbincang untuk buka satu lagi PKRC di asrama sekolah yang akan menempatkan pelajar-pelajar disahkan positif dari seluruh Kelantan.
"Kita pun dah bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk jadikan salah sebuah sekolah menengah di Salor, Kota Bharu sebagai PKRC tersebut.
"Pelajar lelaki dan perempuan semua akan ditempatkan di situ, dua blok akan digunakan dengan kapasiti 300 pesakit pada satu masa," katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan sebanyak tujuh kluster sektor pendidikan dilaporkan di Kelantan membabitkan 464 kes dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan sekolah.
Pada masa sama, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) di negeri itu juga dilaporkan hampir penuh.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan Zaini berkata, seramai 120 penduduk di Kelantan disenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa kedua yang bermula hari ini.
Katanya, bagi fasa ini individu berusia 60 tahun ke atas dan berisiko diberi keutamaan.
"Kita harap semua yang daftar hadir untuk dapatkan suntikan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai