Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda PAS mahu tindakan dikenakan pada Fahmi Reza

Satu laporan polis dibuat ke atas aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza, oleh pemimpin PAS kerana didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kata pengadu, Ahmad Fadhli Shaari, hantaran dibuat Fahmi di Facebook membabitkan permaisuri itu bertujuan menghina dan mengejek.

Timbalan ketua Pemuda PAS itu membuat dakwaan tersebut dengan merujuk kepada lakaran dibuat Fahmi bertajuk This is dengki ke?.

"Walaupun tajuk (hantaran) itu ringkas, tetapi ia merupakan satu troll (hasut maya) terhadap Permaisuri.

"Pada saya walaupun begitu ringkas ia mempunyai niat untuk menghina," kataya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Ahmad Fadhli juga mendakwa dia sudah "memantau" Fahmi dan aktivis tersebut banyak membuat lakaran dan kartuk yang dianggap menyentuh sensitiviti perkauman dan agama.

Terdahulu, pengguna media sosial di Malaysia terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Instagramnya selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini di Twitter Malaysia.

Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.

Mahu pertahan institusi raja

Tangkap layar komen yang dikongsi secara meluas itu disertakan keterangan tentang aktiviti petang Tunku Azizah di dapur bersama cef istana.

Seorang pengguna media sosial kemudian bertanya adakah tukang masak istana telah divaksin, yang kemudian dikatakan dijawab Tunku Azizah dengan "Dengki ke?". 

Susulan itu Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen 'this is dengki ke?' di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.

Hantaran yang dimuat naik Fahmi Reza di Facebook itu dikongsi semula lebih 700 pengguna laman sosial berkenaan.

Ahmad Fadhli berkata, tidak sepatutnya Fahmi melakukan perbuatan hingga menghina institusi beraja.

Justeru katanya, Pemuda PAS memohon polis membuka kertas siasatan dan mengheret individu terbabit ke muka pengadilan agar perbuatan seumpama itu dapat dielak dan menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.

"Walaupun negara ini negara demokrasi dan kita bebas untuk bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, tetapi ada batasannya.

"Tidak boleh diusik sensitiviti perkauman dan agama, apatah lagi menghina apa yang menjadi tunjang dalam perlembagaan iaitu institusi beraja.

"Ini salah pengajaran sepatutnya boleh diambil tindakan oleh pihak polis dan kalau kita tidak pertahankan, saya kira ini satu perkara yang sangat memalukan," katanya.