Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes rumah dilelong kerana tunggakan RM975 selesai

Kes rumah seorang warga emas yang dilelong hanya kerana tunggakan RM975 berjaya diselesaikan selepas penyelesaian dicapai antara bank pemberi pinjaman dan pemilik hartanah.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang membangkitkan isu itu sebelum ini, berkata bekalan air dan elektrik yang dipotong sebelum ini juga sudah dipasang semula.

"Kami difahamkan melalui peguam kami bahawa satu penyelesaian yang baik telah dicapai antara kedua pihak.

"Butiran kandungan penyelesaian tidak dapat dimaklumkan atas persetujuan bersama," kata Timbalan Presiden PSM S Arutchelvan.

S Arutchelvan

Pada 7 April P Letchumy dan anaknya M Mogana berhimpun di depan bangunan Bank Negara di ibu negara bagi memohon campur tangan bank pusat.

Letchumy berkata dia membeli rumah tersebut pada tahun 2001 dan membuat pinjaman bank 20 tahun sebanyak RM31,500 dengan pembayaran bulanan RM268.

Sejak 2001 sehingga Mac 2020, Letchumy membayar ansuran bulanan secara auto debit dan tiada tunggakan.

Bagaimanapun, katanya, pada Julai 2018, bank menaikkan bayaran bulana tanpa memaklumkan kepada Letchumy, menyebabkan bayaran bulanannya tidak cukup dan tertunggak tiga bulan.

Sementara itu, Arutchelvan berterima kasih kepada bank dan peguam Chan Yen Hui serta Terrance Teng yang mewakili warga emas itu secara percuma.